Monday, October 22, 2012

AIM mahu tubuh institut pembangunan

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sedang dalam proses menubuhkan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Kewangan Mikro bagi mengukuhkan lagi program pembangunan usahawannya.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AIMmahutubuhinstitutpembangunan/Article
Published: October 22, 2012

Ketua Pegawai Operasinya, Halid Hasbullah Boestamam, berkata institut itu juga bakal menjadi platform kepada peminjam AIM yang dikenali sebagai sahabat meningkatkan pengetahuan berkaitan keusahawanan serta pengurusan perniagaan di peringkat lebih tinggi.
Beliau menjelaskan, penubuhan institut itu akan membabitkan pelaburan awal kira-kira RM2 juta dan ia akan dikendalikan Amanah Ikhtiar Sdn Bhd.

Kami akan memperkemaskan pusat latihan sedia ada dengan menaikkan tarafnya kepada institut. Institut ini akan mula beroperasi pada Januari tahun depan, katanya kepada BH ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk permulaan, institut itu akan dibuka kepada kakitangan AIM di seluruh negara meningkatkan pengetahuan mereka dalam sektor kewangan dan pengurusan perniagaan, tambahnya.

Halid Hasbullah berkata tenaga pengajar institut itu akan terdiri daripada pakar bertauliah dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) serta Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA).

Beliau berkata, pihaknya bercadang menawarkan kursus berkaitan kewangan, pengurusan perniagaan dan keusahawan yang membabitkan tempoh latihan selama enam bulan, sembilan bulan dan dua tahun.
Kami bercadang mendapatkan pengiktirafan daripada institusi luar negara bagi sijil kursus yang ditawarkan di institut ini. Dengan pengiktirafan antarabangsa itu, ia akan membolehkan kami turut mempromosikan kursus yang ditawarkan kepada peserta luar negara, katanya.

Sementara itu, Halid Hasbullah berkata, AIM juga akan memantapkan tabung khairat yang diperkenalkan kepada peminjamnya ketika ini dengan meningkatkan liputan bantuan kepada peminjam yang ditimpa bencana.

Mengenai jumlah pembiayaan terkini yang disalurkan kepada peminjam, Halid Hasbullah berkata , AIM sudah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM7.5 bilion sejak badan amanah itu ditubuhkan 25 tahun lalu.

Beliau berkata, pembiayaan mikro itu berjaya meningkatkan pendapatan peminjamnya dengan kajian impak terkini oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati purata pendapatan peminjam AIM meningkat kepada RM2,640 sebulan daripada hanya RM515 sebulan sebelumnya.

Kami tidak menghadapi masalah pinjaman tidak berbayar yang tinggi. Dengan kaedah bayaran balik mingguan, kami berjaya mencatatkan kadar bayaran balik sehingga 99.6 peratus, katanya.

AIM yang ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara Perjanjian Amanah Ikhtiar Malaysia serta didaftarkan di bawah Akta Amanah 1952 (pindaan 1981) (Akta 258), menawarkan pembiayaan daripada RM3,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik antara setahun hingga lima tahun, menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.

No comments:

Post a Comment