Monday, May 13, 2013

Angkasa sasar 2,000 koperasi sertai Kopsya

KUANTAN 11 Mei - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasar sebanyak 2,000 koperasi di negara ini akan menyertai Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) menjelang hujung tahun ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130512/wp_02/Angkasa-sasar-2000-koperasi-sertai-Kopsya
Published: May 13, 2013

Presiden Angkasa, Prof. Datuk. Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, sehingga kini, sebanyak 500 koperasi telah menyertai Kopsya yang merupakan konsep berlandaskan pembiayaan Al-Tawarruq yang diiktiraf seluruh dunia.

Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kopsya berkata, pihaknya kini sedang menjalankan kempen secara besar-besaran bagi memastikan lebih banyak koperasi berdaftar dengan perkhidmatan di bawah Kopsya.

“Di negara ini kita ada kira-kira 10,200 koperasi. Melalui kempen yang kita jalankan, saya fikir mereka (koperasi) pasti akan datang sendiri pada kita untuk menyertai Kopsya ini sebab mereka memerlukan pembiayaan.

“Jadi, kita (Angkasa) akan pastikan mereka dibantu, diberi pembiayaan mengikut syarat-syarat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Kejohanan Petanque Angkasa Peringkat Kebangsaan 2013 di Gelanggang Petanque Balok di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yakob.

Kejohanan tersebut merupakan acara tahunan Angkasa yang mula dianjurkan pada 1986 melibatkan penyertaan daripada seluruh negeri.

Mohd. Ali berkata, sehingga kini, Kopsya telah mencatatkan jumlah saham terkumpul sebanyak RM25 juta.

“Kita sasarkan memiliki jumlah saham sehingga RM350 juta dan saya difahamkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) beri jaminan kita akan dapat gunakan nama bank jika jumlah itu berjaya dikumpul.

“Jadi, kita kena kejar ahli kita, sikap tunggu dan lihat yang ada sekarang ini perlu berakhir," katanya.

Sementara itu, katanya, Angkasa mengucapkan tahniah kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memenangi pilihan raya umum lalu dan berharap sektor koperasi akan terus diberi perhatian.

“Hari ini kita lihat sektor koperasi sebagai sektor yang makin berkembang, perubahan itu berlaku hasil galakan kerajaan dan SKM yang mahu lihat sektor ini dapat menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

No comments:

Post a Comment