Monday, May 13, 2013

TEKUN Nasional lahir 674 usahawan kecil

BACHOK 10 Mei - Sebanyak 674 usahawan berjaya dilahirkan di daerah ini hasil bantuan kewangan dan bimbingan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130511/wt_02/TEKUN-Nasional-lahir-674-usahawan-kecil
Published: May 13, 2013

Pegawai TEKUN Nasional daerah, Zailani Ya berkata, kesemua peserta yang mendapat pinjaman mudah sebanyak RM5,000 ke atas itu, telah diberi kursus keusahawanan dalam pelbagai bidang yang diceburi sehingga mereka berjaya dalam perniagaan masing-masing.

"Kursus adalah wajib bagi memastikan objektif dan matlamat kerajaan Persekutuan menyediakan dana pinjaman menerusi TEKUN Nasional tercapai sepenuhnya, yang mana peminjam memanfaatkan sumber kewangan itu untuk meningkatkan kapasiti perniagaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini TEKUN Nasional daerah telah mengeluarkan pinjaman semasa berjumlah RM5.6 juta bagi membantu rakyat menjalankan pelbagai projek perniagaan dan keusahawanan.

Menurutnya, Pegawai TEKUN Nasional sentiasa memantau kemajuan peminjam dengan menyalurkan khidmat nasihat dan kepakaran serta latihan berterusan sehingga mereka mampu berdikari sebelum ditawarkan pinjaman dalam skala lebih besar.

Seorang peminjam, Rubiah Ismail, 56, berkata, TEKUN Nasional berjaya menyelamatkan perniagaannya selepas gagal mendapatkan sumber kewangan daripada bank dan institusi kewangan lain.

"Perniagaan kedai runcit saya hampir merosot dan saya amat memerlukan modal pusingan ketika itu. Tanpa sumber kewangan, saya pasti akan gulung tikar dan terpaksa mencari pekerjaan lain.

"Apa pun, saya bersyukur kerana kerajaan Persekutuan menerusi TEKUN Nasional menyediakan kemudahan sedemikian sehingga saya mampu merangkak kembali memajukan perniagaan kedai runcit hingga sekarang.

"Saya menerima pinjaman TEKUN Nasional sejak dua tahun lalu dan kini berjaya meningkatkan pendapatan bulanan berbanding sebelumnya," katanya.

Rubiah yang menjalankan perniagaan di Kampung Tok Kederap, dekat sini berkata, pinjaman pertama diperolehnya berjumlah RM10,000 dan kini membuat pinjaman kali kedua sebanyak RM25,000 dengan kadar faedah rendah.

Rakannya, Nurzan Zakaria, 47, berkata, bimbingan dan tunjuk ajar Pegawai TEKUN Nasional banyak membantu usahawan di daerah ini berjaya, selain tawaran khidmat pinjaman cepat dan pantas berbanding institusi kewangan lain.

Beliau yang mengusahakan perniagaan rumah tumpangan dan kedai makan di sini berkata, hasil pinjaman itu dimanfaatkan untuk menaik taraf rumah tumpangan yang sentiasa mendapat permintaan sepanjang tahun.

Sementara itu, Zareha Omar, 49, pula berkata, perkhidmatan yang disediakan oleh TEKUN Nasional memberikan peluang kepada golongan wanita di daerah ini menjalankan perniagaan bagi membantu ekonomi keluarga.

"Sepatutnya kemudahan seperti ini turut disediakan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas yang baharu mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.

No comments:

Post a Comment