Thursday, May 23, 2013

AIM Sasar 30 Peratus Usahawan Mikro Berjaya Menjelang 2015

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasar dapat menghasilkan 30 peratus usahawan mikro berjaya menjelang 2015.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=951610
Published: May 23, 2013

Pengarah Urusan AIM Datuk Zabidah Ismail berkata bagi mencapai sasaran berkenaan, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi membiayai pinjaman kepada usahawan mikro di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM400 juta telah dikeluarkan sebagai bantuan modal kepada usahawan mikro di seluruh negara sehingga April lepas.

"Setiap usahawan mikro, kita bagi bantuan modal perniagaan untuk mereka bermula sekitar RM3,000. Setelah mereka berjaya, pinjaman modal akan kita tingkatkan mengikut keperluan dan tidak melebih RM50,000," katanya selepas merasmikan Seminar Keusahawanan dan Kepenggunaan Halal Negeri Terengganu 2013 di sini Rabu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu Azmi Razik.

Zabidah berkata AIM tidak menghadapi masalah dari segi pembayaran balik pinjaman kerana 99.4 peratus pembiayaan dilunaskan oleh peminjam.

"Daripada 123 cawangan AIM di seluruh negara, 80 cawangan menerima bayaran balik 100 peratus," katanya.

Zabidah berkata 90 peratus usahawan mikro terdiri daripada wanita yang menjalankan pelbagai perniagaan, antaranya peruncitan, perusahaan hasil laut seperti menjual keropok serta menternak dan bertani.

AIM yang telah mengeluarkan pembiayaan sebagai bantuan modal sebanyak RM8 bilion kepada 340,000 usahawan mikro sejak ia ditubuhkan 25 tahun lalu, melahirkan 20 peratus usahawan mikro yang berjaya dalam perniagaan masing-masing.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment