Monday, July 1, 2013

Perbanyak jumlah pengusaha IKS - Pahang

MARAN 29 Jun - Kerajaan negeri berusaha meningkatkan jumlah usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera di negeri ini dalam pelbagai sektor perniagaan yang selari dengan transformasi ekonomi negara.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130630/wp_03/Perbanyak-jumlah-pengusaha-IKS
Published: July 01, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Penggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin (gambar) berkata, terdapat lebih 800 pengusaha IKS di negeri ini menjalankan pelbagai perniagaan dalam skala kecil.

Menurutnya, kebanyakan golongan bumiputera yang gagal dalam IKS disebabkan faktor kewangan, ruang berniaga, kelemahan pengurusan dan kekurangan tenaga kerja.

"Semua masalah itu akan cuba diatasi sebaik mungkin oleh kerajaan melalui agensi terlibat bagi memastikan lebih ramai usahawan bumiputera berwibawa menceburi bidang IKS.

"Agensi kerajaan yang terbabit dengan IKS perlu mengambil pendekatan mesra rakyat iaitu menemui golongan sasar dalam menyampaikan maklumat mengenai pelbagai faedah serta manfaat diperoleh mereka," katanya dalam mesyuarat agung Koperasi Pekebun Kecil Getah Daerah Kuantan dan Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini kelmarin.

Menurutnya, golongan itu perlu diberikan bimbingan, perhatian dan pendedahan tentang cara sektor IKS boleh maju dan berdaya saing.

Katanya, sebahagian besar golongan berkenaan sudah lama menceburi bidang tersebut dan wajar diberi pelbagai bantuan sebagai pemangkin kemajuan dalam perniagaan.

Beliau memberitahu, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka tetapi disebabkan kurang mendapat penerangan, maka golongan itu tidak mengetahui kemudahan serta manfaat tersebut.

"Saya berharap dengan majlis penerangan yang diadakan seperti ini akan dapat memberi bimbingan kepada pengusaha terbabit untuk terus maju ke hadapan.

"Langkah ini akan mendorong peniaga lebih berdikari sekali gus memajukan perniagaan masing-masing selaras dengan matlamat kerajaan melahirkan lebih ramai pengusaha IKS," katanya.

No comments:

Post a Comment