Thursday, July 4, 2013

JKNK tutup 24 premis makanan

KOTA BHARU 3 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan amaran keras kepada peniaga supaya mengambil tindakan bagi meningkatkan tahap kebersihan di premis perniagaan mereka atau berdepan tindakan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130704/wt_01/JKNK-tutup-24-premis-makanan
Published: July 04, 2013


         Ahmad Razin

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi secara berkala untuk menguatkuasakan Seksyen 11, Akta Makanan 1983 iaitu menutup premis makanan yang didapati tidak bersih.

"Mana-mana premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti kehadiran tikus, kebersihan peralatan, perkakasan serta pengendalian makanan akan diarah tutup," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Ahmad Razin berkata, untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 24 buah premis makanan yang didapati tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan telah diarah tutup serta 12 kompaun telah dikeluarkan.

"Di bawah seksyen tersebut, pemilik premis yang tidak mematuhi perintah penutupan akan disabitkan dengan kesalahan dan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Isu kesihatan di negeri ini kembali menjadi tumpuan berikutan laporan peningkatan kes virus kencing tikus atau Leptospirosis sebanyak kira-kira 50 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Ahmad Razin sebelum ini dilapor berkata, sehingga 10 Jun lalu, sebanyak 112 kes direkod dengan tujuh kematian berbanding 57 kes dan dua kematian pada tempoh yang sama pada 2012.

Daerah Kota Bharu mencatatkan angka tertinggi dengan 24 kes diikuti Gua Musang (24), Kuala Krai dan Pasir Mas masing-masing (14).

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Darul Anuar, Pulau Melaka di sini meninggal dunia akibat terkena jangkitan virus tersebut selepas mengikuti perkhemahan pada bulan lalu di Bukit Bakar, Machang, bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil selepas diberikan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Leptospirosis ialah sejenis penyakit berjangkit yang menjangkiti manusia akibat pendedahan kepada persekitaran yang tercemar dan selalunya berada di dalam badan tikus.

No comments:

Post a Comment