Thursday, July 11, 2013

Ibu tunggal dipelawa jadi ahli koperasi usahawan

BUTTERWORTH 10 Julai - Ibu tunggal di negeri ini yang menjalankan perniagaan dipelawa menjadi ahli Persatuan Usahawan Ibu Tunggal Negeri Pulau Pinang (PUITNPP) bagi membolehkan produk mereka dipasarkan dengan berkesan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130711/wu_03/Ibu-tunggal-dipelawa-jadi-ahli-koperasi-usahawan
Published: July 11, 2013

Pengerusinya, Roslinda Musa berkata, melalui usaha tersebut, ibu tunggal tidak lagi perlu menagih bantuan daripada mana-mana pihak untuk memajukan perniagaan.

Beliau berkata, koperasi akan membantu ibu tunggal memperluaskan bidang perniagaan yang berdaya maju.

"Koperasi sendiri akan mewujudkan sebuah pusat jualan usahawan di Taman Selat di sini tidak lama lagi untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh ibu tunggal.

"Kita akan kumpulkan produk dan hasil penjualan boleh diagihkan kepada usahawan ibu tunggal terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Roslinda berkata, kebanyakan ibu tunggal mempunyai kemahiran dan mereka boleh menggunakan kemahiran sedia ada termasuk yang ingin memajukan perniagaan dengan lebih baik.

Menurut beliau, ibu tunggal yang sudah maju dalam bidang perniagaan boleh menjadi ikon oleh ibu tunggal.

Katanya, persatuan juga akan menganjurkan kursus usahawan seperti pembuatan peralatan perkahwinan, jahitan dan sebagainya.

Setakat ini, sebanyak 100 ibu tunggal telah menjadi ahli persatuan itu dan 10 peratus daripada mereka berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan.

Roslinda berkata, ibu tunggal yang mahu menjadi ahli persatuan dikenakan yuran tahunan sebanyak RM20 dan RM5 pendaftaran manakala ahli seumur hidup ialah RM100 seorang.

Mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 012-4474397 bagi mendapatkan maklumat selanjutnya.

No comments:

Post a Comment