Friday, July 5, 2013

10 Peniaga Dan Pengusaha IKS Sertai MyShopping

ALOR SETAR, 4 Julai (Bernama) -- Sebanyak 10 peniaga dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menyertai perkhidmatan terbaharu Pos Malaysia Berhad, MyShopping untuk membolehkan barangan dan produk mereka dijual dan diperkenalkan kepada pelanggan oleh Pos Malaysia.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=961072
Published: July 05, 2013

Menerusi MyShopping, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan pembelian barangan terus ke pintu rumah mereka melalui pengedaran risalah dan borang tempahan barangan yang akan dibawa oleh posmen yang berdaftar sebagai ejen jualan.

MyShopping yang merupakan projek di bawah PosEdaran itu diwujudkan untuk memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan Pos Malaysia yang sedia ada seperti MyDespatch dan MyDistribution.

Ketua Pegawai Operasi Communications and Distribution Solutions (CDS) Pos Malaysia Berhad Hasnul Haniff berkata MyShopping yang dilancar Disember tahun lepas memfokuskan kepada barangan dan produk tempatan terutama daripada IKS.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat MyShopping peringkat negeri Kedah di sini Khamis, beliau berkata perkhidmatan seperti itu memberi peluang kepada peniaga dan pengusaha IKS untuk meluaskan perniagaan di seluruh Malaysia.

Beliau berkata perkhidmatan MyShopping ini juga turut disediakan di Sabah dan Sarawak dan harga barangan yang dihantar adalah sama seperti harga di pasaran dan tiada caj penghantaran dikenakan.

Bagi peniaga dan pengusaha IKS yang ingin menyertai MyShopping, mereka boleh menghubungi nombor telefon yang akan disediakan di katalog yang akan dibawa oleh posmen atau ke pejabat pos berdekatan untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan itu.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment