Wednesday, July 24, 2013

Amee Philips Sasar Pasaran China Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Syarikat barang kemas yang beribu pejabat di Pulau Pinang, Amee Philips Sdn Bhd, yang kini mengecap kejayaan kukuh di dalam dan luar negara, merancang untuk mengembangkan perniagaanya ke China tahun depan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=965579
Published: July 24, 2013

Ketua Pegawai Eksekutif, Amee Philips berkata China merupakan pasaran yang baik untuk ditembusi kerana populasi dan kuasa perbelanjaannya yang besar.

"Kami mahu mengadakan gedung barang kemas di sana. Perbelanjaan minimum yang diperlukan ialah antara RM5 juta dan RM10 juta.

"Untuk penerokaan ini, kami akan masih menguasai aspek pembuatan dari segi produk, terutamanya jenis emas dan berlian yang digunakan," kata beliau kepada Bernama.

Pada masa ini, syarikat menghasilkan produk di kilangnya di Pulau Pinang dan memasarkannya di cawangan di Mandarin Oriental Kuala Lumpur Hotel.

"Kami yakin dapat menggandakan jualan kami tahun ini. Cawangan kami di Mandarin Oriental memberikan kami banyak pendedahan dan ia membolehkan kami berjumpa dengan pelanggan dari seluruh dunia seperti New York, Dubai dan Mexico," kata beliau.

Di peringkat antarabangsa, barang kemas Amee Philips telahpun dijual di New York hasil kerjasama dengan pereka fesyen Malaysia yang berpangkalan di New York, Zang Toi, serta di London, menerusi ejen mereka di sana.

Bergerak ke hadapan, Philips berkata impian beliau ialah mewujudkan satu akademi mencari bakat tempatan seperti bakat kehalusan kerja tangan serta menyediakan latihan untuk mereka menjual produk.

"Saya berharap akademi ini boleh ditubuhkan dalam tempoh 2-3 tahun. Industri tukang emas telah pupus dan kita perlu menyuntik sesuatu yang baharu untuk mengembalikan kegemilangan industri itu," kata beliau.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment