Wednesday, July 3, 2013

KPMNJ sasar 10 peratus KDNK menjelang 2020

JOHOR BAHRU 2 Julai - Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Bhd. (KPMNJ), akan memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan berimpak tinggi sebagai usaha mencapai sasaran 10 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130703/wj_02/KPMNJ-sasar-10-peratus-KDNK-menjelang-2020
Published: July 03, 2013

Pengerusinya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, antara bidang yang akan diberikan penekanan termasuk perladangan, kewangan Islam, peruncitan serta pemborongan, perkhidmatan pengangkutan awam dan perhotelan.

Beliau memberitahu, KPMNJ juga sedang mencari peluang untuk melibatkan diri dalam bidang hartanah yang dilihat akan memberikan pulangan tinggi selain memberi manfaat kepada masyarakat.

"Hingga kini, sumbangan koperasi di Malaysia kepada KDNK hanya 0.8 peratus dan kita akan melaksanakan pelbagai usaha bagi menjayakan hasrat menyumbang sebanyak 10 peratus pada 2020.

"Sebagai permulaan, kita menetapkan sasaran tiga peratus sumbangan bagi tahun ini dan kita akan terus meneroka bidang-bidang perniagaan yang mampu memberikan impak besar," katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-18 KPMNJ di Pasir Gudang, dekat sini semalam.

KPMNJ merupakan antara koperasi yang aktif dan berdaya saing di negeri ini dengan ahlinya kini mencecah 9,000 orang dan sebanyak 14 syarikat menjadi ahli koperasi.

Pada majlis berkenaan, KPMNJ turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM7,474 kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia selain turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak ahli koperasi yang cemerlang dalam pelajaran.

Sementara itu, Mohamad Ali merayu kerajaan negeri menimbang semula permohonan KPMNJ bagi mendapatkan tanah yang dijanjikan, selain tanah-tanah terbiar untuk dibangunkan secara sendiri atau bersama pihak berkepentingan.

Selain itu, beliau turut memohon kerajaan negeri memberi pihaknya ruang termasuk ekuiti dalam segala kegiatan pembangunan ekonomi di kawasan-kawasan seperti Iskandar Malaysia dan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang.

"Kita tidak mahu ketinggalan dalam limpahan pembangunan yang sedang rancak berlaku, sebaliknya mahu terlibat secara langsung dalam memajukan negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment