Tuesday, July 9, 2013

Koperasi Sekolah Perlu Naik Taraf Perniagaan Masing-masing - Hasan Malek

KUALA PILAH, 8 Julai (Bernama) -- Koperasi sekolah di seluruh negara perlu menaik taraf perniagaan masing-masing dengan mempelbagaikan barangan jualan termasuk keperluan harian pelajar bagi menambah perolehan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=961792
Published: July 09, 2013

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata langkah itu juga dapat membantu pelajar terutama di sekolah di luar bandar, yang ada ketikanya terpaksa ke bandar untuk membeli barangan keperluan harian.

"Saya percaya koperasi sekolah di negara ini boleh berkembang maju dan berjaya sebagaimana kejayaan koperasi di negara yang maju dalam gerakan koperasinya," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau sebelum itu hadir majlis pelancaran Hari Koperasi Sekolah 2013 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja'afar di sini yang turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, Hasan berkata sejak diperkenalkan pada 1960-an dengan hanya sembilan koperasi sekolah perintis, setakat 31 Dis lalu terdapat 2,244 koperasi sekolah di seluruh negara dengan keanggotaan 2.1 juta dan perolehan RM285.2 juta.

Dari segi perniagaan koperasi keseluruhan, terdapat lebih 10,200 koperasi dengan keanggotaan 8 juta, melibatkan aset bernilai RM100.4 bilion dan perolehan RM31.09 bilion setahun, katanya.

Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata Malaysia mempunyai gerakan koperasi sekolah yang tersusun dan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) mengiktiraf gerakan koperasi sekolah di Malaysia antara yang terbaik di dunia.

Beliau turut memberi contoh koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kota di Kota Baharu, Kelantan yang mencapai perolehan lebih RM1 juta pada tahun lepas.

Kini sudah ada 30 buah sekolah di seluruh negara menjurus ke arah perolehan RM1 juta setahun, katanya.

Ketika berucap pada majlis itu beliau berkata selain memberi pendedahan dan pengetahuan asas pengurusan dan pentadbiran kepada pelajar, penubuhan koperasi sekolah juga dapat memupuk minat dan mengembleng semangat keusahawanan mereka.

"Angkasa pula telah diberi kepercayaan untuk memainkan peranan dalam membangunkan gerakan koperasi sekolah di negara ini," katanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment