Wednesday, November 21, 2012

Perniagaan Mikro Francais Boleh Diceburi Golongan Berpendapatan Rendah, Sederhana

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Golongan berpendapatan rendah dan sederhana berpeluang menceburi bidang perniagaan mikro francais kerana ia tidak memerlukan modal yang terlalu tinggi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Rohani Abdul Karim.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=709906
Published: November 20, 2012

Beliau berkata terdapat perniagaan mikro francais yang menawarkan modal perniagaan serendah RM16,000 untuk memberi peluang kepada golongan sasaran menyertai bidang itu.

Katanya, kementerian kini giat mengadakan pameran di seluruh negara bagi membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana menceburi bidang perniagaan mikro francais itu.

"Kementerian sengaja memilih francais yang menawarkan modal RM50,000 ke bawah sekaligus memperkenalkan perniagaan itu kepada golongan sasaran dan menukar pandangan mereka mengenai perniagaan itu yang bermodalkan berjuta-juta ringgit," katanya ketika menjawab soalan Datuk Saifudin Nasution Ismail (PKR-Machang) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Saifudin ingin tahu jumlah francaisor bumiputera yang menembusi pasaran antarabangsa daripada keseluruhan 46 syarikat tempatan di luar negara.

Rohani berkata daripada jumlah 46 syarikat francaisor tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 50 negara, sembilan atau 20 peratus daripadanya adalah dimiliki bumiputera manakala selebihnya milik bukan bumiputera.

"Kami memang sentiasa menggalak lebih banyak syarikat-syarikat ini dan sekarang ini menggalakkan perniagaan konvesnsional juga digabungkan kepada perniagaan francais.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah perniagaan francais yang berdaftar adalah 631 dengan 435 dimiliki francais tempatan membabitkan 143 milik bumiputera dan 292 pula bukan bumiputera.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment