Saturday, November 3, 2012

Ar-Rahnu bina ambil upah simpan barang kemas 60 sen sebulan

KOTA BHARU - Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) melalui anak syarikatnya, Farihan Corporation Sdn Berhad, yang mengendalikan pajak gadai Islam Ar-Rahnu di Kelantan, mengambil upah menyimpan barang-barang kemas sebanyak 60 sen sebulan bagi setiap RM100 nilai pajakan.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/ar-rahnu-bina-ambil-upah-simpan-barang-kemas-60-sen-sebulan-1.99868
Published: November 02, 2012

Pegawai Prinsipal Farihan Corporation Sdn Berhad Mahmood Jusoh berkata, kadar itu meningkat kepada 70 sen sebulan bagi pajakan yang bernilai lebih RM500 tetapi tidak melebihi RM2,500.
"Jadi bagi pajakan yang bernilai sehingga RM500, upah simpan yang dikenakan ialah 60 sen sebulan setiap RM100 nilai pajakan manakala pajakan RM501 sehingga RM2,500 upah simpan yang dikenakan setiap RM100 ialah 70 sen sebulan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Zakat Perniagaan Ar-Rahnu, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di sini, petang semalam.

Seramai 46 pelajar sekolah rendah dan menengah di Kelantan menerima sumbangan berjumlah RM11,500 dan merupakan julung-julung kali dikeluarkan oleh Ar-Rahnu BIMB sejak penubuhannya, kira-kira dua tahun lepas.

Mahmood berkata, bagi simpanan melebihi RM2,500, bayaran upah yang dikenakan bagi setiap RM100 ialah 80 sen sebulan iaitu meningkat sebanyak 10 sen juga dan nilai itu dikira paling rendah dalam usaha membantu golongan yang memerlukan wang.

Beliau berkata, terdapat empat cawangan Ar-Rahnu BIMB di Kelantan sejak penubuhannya pada 2010 dan satu-satunya negeri yang mempunyai Ar-Rahnu BIMB, manakala negeri-negeri lain sedang dalam perancangan.

Cawangan-cawangan terbabit ialah cawangan Kota Baharu, cawangan Pasir Puteh, cawangan Pasir Mas dan cawangan Tanah Merah yang kesemuanya berada pada peringkat awal penubuhannya.

Beliau berkata keuntungan yang diperolehi Ar-Rahnu BIMB sebahagiannya diberi kepada Asnaf Lapan bagi membantu mengurangkan beban hidup golongan itu yang memerlukan bantuan dan sokongan orang ramai.

"Usaha murni kami menyalurkan bantuan seumpama itu diharap dapat meringankan beban golongan pelajar yang kurang bernasib baik di samping menyuntik semangat agar mereka sentiasa bermotivasi dalam menuntut ilmu," katanya.

Pada majlis yang dihadiri oleh guru-guru dan pelajar-pelajar itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang Infaq Sadaqah, wang Wakaf dan wang Amal Jariah orang ramai kepada Masjid Mukim Jerimbung di Jeli, Masjid Gong Datok di Pasir Puteh dan Pusat Perlindungan Kanak-kanak Kelantan berjumlah RM2,145.

"Wang itu adalah sumbangan orang ramai secara ikhlas yang memberi derma ketika berurusan di kaunter Ar-Rahnu dan Bank Islam Malaysia Berhad," katanya.

Beliau berharap lebih ramai penderma tampil menghulur sumbangan bagi membolehkah lebih ramai yang kurang bernasib baik mendapat faedah.- Bernama

No comments:

Post a Comment