Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/konsortium-koperasi-bakal-ditubuhkan-1.57443 
Published: Jun 18, 2012
BERA - Sebuah konsortium koperasi negara bakal ditubuhkan bagi 
membolehkan koperasi lebih berdaya maju dan dapat melaksanakan projek 
perniagaan berskala besar.
 
 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri 
Ismail Sabri Yaakob berkata ianya juga secara tidak langsung memudahkan 
bagi kerajaan untuk memberikan pinjaman modal dan menyediakan 
peluang-peluang perniagaan yang lebih banyak.
 
 "Kita berharap konsortium itu dapat ditubuhkan menjelang akhir tahun 
ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung 
Koperasi Peneroka Felda Sebertak, di sini, hari ini.
 
 Beliau berkata daripada 9,000 buah koperasi yang berdaftar dengan 
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sejumlah 100 buah koperasi 
disenaraikan sebagai koperasi maju dan berdaya saing.
 
 "Salah sebuah daripadanya adalah Koperasi Peneroka Felda Sebertak yang 
menduduki ranking ke-19 dalam kalangan koperasi maju di negara ini," 
katanya.
 
 Beliau yang juga Anggota Parlimen Bera berkata kerajaan bukan sahaja 
bersedia memberikan pinjaman mudah tanpa cagaran dan penjamin kepada 
koperasi, malah bersedia memberikan peluang-peluang perniagaan besar 
jika ternyata koperasi terbabit mampu mengendalikan projek-projek 
besar.
 
 "Di Singapura misalnya, kira kira 70 peratus daripada barang-barang 
keperluan termasuk makanan dan lain-lain dimonopoli dan pembekalannya 
dilakukan oleh pihak koperasi.
 
 "Kejayaan koperasi bertindak sebagai pembekal disebabkan ahli serta 
rakyat negara terbabit memberikan sokongan padu kepada koperasi 
terbabit.
 
 Terdahulu ketika merasmikan Kedai 1Malaysia Koperasi Kariah Masjid 
Fikri Daerah Bera, Ismail Sabri berkata sekiranya 6,600 buah masjid di 
seluruh negara menubuhkan koperasi di kariah masing-masing, ianya 
dilihat mampu menguasai bidang perniagaan tertentu.
 
 "Setakat ini sebanyak 300 buah daripada bilangan masjid tersebut 
sudahpun menubuhkan koperasi kariah masjid yang menjalankan perniagaan 
pembekalan peralatan masjid termasuk kitab dan lain-lain dan Koperasi 
Kariah Masjid Fikri Bera merupakan koperasi pertama menjalankan 
perniagaan Kedai 1Malaysia di negara ini," katanya.
 
 Ismail Sabri berkata setiap masjid wajar menubuhkan koperasi kariah 
masing masing kerana mereka akan dapat menjalankan perniagaan yang 
akhirnya memberi sumber kewangan untuk menjalankan kegiatan keagamaan.
 
 "Banyak perniagaan yang boleh dijalankan koperasi terbabit, antaranya 
membekal air minuman, barang-barang runcit, peralatan kenduri seperti 
khemah dan sebagainya.
 
 "Masalah modal. Suruhanjaya Koperasi Malaysia bersedia  memberikan 
pinjaman sebanyak RM50,000 secara mudah tanpa cagaran bagi menjalankan 
perniagaan," katanya. -- Bernama
No comments:
Post a Comment