Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/dinar-kerajaan-kelantan-diminta-beri-penjelasan-1.58733 
Published: Jun 22, 2012
KOTA BAHARU - Kerajaan PAS Kelantan telah diminta untuk memberi 
penjelasan kepada rakyat berhubung isu urus niaga dinar dan dirham yang 
kini menjadi isu di negeri itu.
 
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh 
berkata penjelasan adalah perlu bagi membuktikan ketelusan kerajaan 
negeri tersebut di dalam pelaksanaan urus niaga di pasaran yang telah 
menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat.
 
"Ia untuk mengelak kekeliruan di kalangan rakyat yang tidak mendapat 
penjelasan sebenar mengenai perkara itu terutama apabila iannya sudah 
menjadi isu selepas beberapa laporan polis dibuat berhubung perkara 
berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis Malam Anugerah 
Kecemerlangan Mahsiswa dan Malam Pra Graduan 2012 Universiti Teknologi 
Mara (UiTM) di sini malam tadi.
 
Turut hadir ialah Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya, Dr Mohd Shukri Omar.
 
Laporan media semalam melaporkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) 
telah mendesak kerajaan Kelantan supaya menggantung urus niaga dinar dan
 dirham bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya 
terhadap apa yang didakwa sebagai berlaku 'skandal mata wang syariah' di
 negeri ini.
Mereka juga meminta Datuk Husam Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa 
Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri menjelaskan mengenai 
isu itu.
 
Isu berkenaan timbul selepas tiga laporan polis dibuat terhadap dakwaan
 berlaku salah laku yang membabitkan seorang daripada pegawai kanan 
Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT) iaitu sebuah syarikat pengeluar mata
 wang dinar dan dirham milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan 
(PMBK)
 
Ketiga-tiga laporan polis itu dibuat oleh bekas Pengarah Eksekutif KGT,
 Nik Mahani Mohamad pada 31 Jan lepas, seorang pelabur Jepun, Takao Kono
 pada 28 Mei dan seorang rakyat Perancis, Mohamed Esfih pada 1 Jun.
 
Terdahulu dalam ucapanya, Mohd Fatmi yang juga Ketua Umno Bahagian Kota
 Baharu meminta pelajar supaya mensyukuri nikmat pembangunan yang 
diberikan melalui institusi pendidikan itu.
 
Katanya kerajaan membelanjakan kira-kira RM3 bilion setahun untuk 
membiayai kira-kira 200,000 pelajar UiTM di seluruh negara di mana bagi 
setiap pelajar, kerajaan membelanjakan RM15,000. - Bernama
No comments:
Post a Comment