Sunday, July 1, 2012

Tekun Nasional harap Bajet 2013 salur dana

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/tekun-nasional-harap-bajet-2013-salur-dana-1.62463

Published: Jun 30, 2012

GEORGETOWN - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun Nasional) berharap peruntukan dana dapat diteruskan dalam bajet 2013 bagi meramaikan usahawan Bumiputera yang berjaya.

Pengarah Urusannya Datuk Abdul Rahim Hassan berkata hasrat itu juga selari dengan tujuan kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera menerusi bidang perniagaan.

"Kita menggalakkan agenda Bumiputera dalam konteks 1Malaysia, yang memastikan golongan ini maju bersama masyarakat Cina dan India," katanya kepada pemberita selepas seminar transformasi usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan 2012 zon utara, di sini hari ini.

Seminar itu dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Pulau Pinang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Sambil menyifatkan modal merupakan masalah yang paling besar yang dihadapi golongan Bumiputera untuk memulakan perniagaan, Abdul Rahim berkata Tekun Nasional akan terus membantu dan memastikan golongan ini berjaya.

Menurutnya Tekun Nasional telah mengagihkan pinjaman sebanyak RM2.2 bilion sejak ditubukan pada tahun 1998, dengan RM101 juta diperuntukkan kepada 10,989 penerima di Pulau Pinang.

Untuk memastikan Tekun Nasional dapat terus memberi modal kepada usahawan Bumiputera, Abdul Rahim berkata institusi ini akan berusaha untuk menambah bayaran balik kepada RM25 juta sebulan tahun ini daripada RM20 juta sebelumnya.

Katanya kadar kejayaan ialah 70 peratus dalam kalangan peniaga yang masih berniaga, manakala 30 peratus lagi membabitkan mereka yang gagal atau tidak dapat membayar balik pinjaman walaupun masih meneruskan perniagaan.- Bernama

No comments:

Post a Comment