Thursday, July 5, 2012

Angkasa laksana transformasi pemberian zakat - Mohd. Ali

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

Published: July 04, 2012

KOTA KINABALU 3 Julai - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) bukan sahaja berjaya mentransformasikan koperasi di negara ini, malah menjadi institusi pertama menyalurkan zakat menggunakan kaedah pemberian barangan selain wang ringgit.

Presiden Angkasa, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, sebanyak 30 peratus daripada kira-kira RM1.3 juta zakat tahun lalu, diberikan terus kepada golongan sasaran menggunakan kaedah ini.

Menurutnya, antara barangan itu adalah haiwan ternakan seperti lembu dan baki daripada jumlah zakat itu disalurkan kepada majlis agama Islam negeri.

"Tujuan dan matlamat zakat adalah untuk mengatasi masalah kemiskinan, jadi kalau kita bagi wang mungkin disalah guna dan habis tetapi kalau bagi benda ia boleh menjana pendapatan.

"Dengan kata lain, kita juga memberi pendidikan kepada mereka supaya melakukan transformasi cara hidup yang lebih baik. Iaitu lebih baik kita bagi pancing daripada bagi ikan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Seminar Transformasi Kewangan Islam di sini malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) Angkasa, Datuk Syed Mohd. Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Pengerusi Perhubungan Angkasa Sabah, Datuk Noraini Saleh.

Tambah Mohd. Ali, seramai 35 asnaf menerima zakat dalam bentuk haiwan ternakan iaitu lembu bernilai RM5,000 pada tahun ini.

Katanya, mereka yang terdiri daripada orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak itu digalakkan menternak lembu berkenaan dan boleh menjual balik kepada koperasi pada masa akan datang.
"Kaedah ini dilihat amat baik dan akan kita teruskan pada masa akan datang di mana pada tahun depan kita jangkakan sebanyak RM400,000 zakat akan disalurkan melalui kaedah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment