Tuesday, July 3, 2012

Moccis - Mahu jadi terunggul

KOPERASI Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis) atau dahulunya dikenali sebagai Malay Officers Cooperative Credit And Investment Society (Moccis) adalah koperasi dan badan pelaburan utama bagi Pegawai Melayu di perkhidmatan awam dan sektor swasta.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahujaditerunggul/Article/index_html
Published: July 02, 2012

Ditubuhkan pada 4 Julai 1934, Moccis mempunyai pengalaman luas dalam bidang pelaburan. Pada masa kini, Moccis adalah salah satu koperasi terbesar di Malaysia yang menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang pembangunan ekonomi Malaysia.
Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Shanty Nur Shaffizan Shafee dengan Pengurus Besarnya, Khairul Zamri Jamal (gambar) mengenai hala tuju serta perancangan koperasi terbabit dengan ahlinya yang kini berjumlah 8,500 orang.


APAKAH perkembangan serta aktiviti terkini dijalankan Moccis setakat 2012?
Prospek perniagaan Moccis pada 2012 adalah untuk menjadi salah satu koperasi unggul dalam pembiayaan kredit kepada semua anggota dan orang awam yang menjadi ahli dengan sasaran jumlah pembiayaan sebanyak RM54 juta.

Selain itu, aktiviti perniagaan Moccis tertumpu kepada peningkatan keuntungan dan memenuhi keperluan negara daripada segi pinjaman, perkhidmatan dan barangan dengan strategi perniagaan yang diatur rapi.

Moccis kini mempunyai anak syarikat dan beberapa syarikat usaha sama yang terbabit dalam pelbagai aktiviti seperti pendidikan, penjualan barang melalui skim ansuran Murabahah, perladangan kelapa sawit, perkilangan, kewangan dan hartanah dengan sasaran ahli sehingga akhir tahun sebanyak 10,000 orang.

Bagaimana dengan sasaran Moccis ke arah mencapai pensijilan ISO 9001:2008?

Dengan perancangan rapi pihak pengurusan, operasi kami kini lebih agresif ke arah menjadikan Moccis sebagai koperasi pertama mendapatkan pensijilan ISO 9001:2008 tahun ini. Ini bagi menaikkan imej Moccis untuk menjadi 100 koperasi terbaik di Malaysia.

Matlamat Moccis untuk mendapatkan pensijilan pertama secara tidak langsung dapat melonjakkan imej Moccis mencapai wawasannya menjadi antara 100 koperasi terbaik dan terunggul di Malaysia.

Apakah produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Moccis?

Produk utama kami adalah Pembiayaan Peribadi Aslah yang menawarkan pembiayaan peribadi dengan jumlah pinjaman sehingga RM200,000 untuk tempoh sehingga 15 tahun. Bagi kakitangan kerajaan, gaji minimum adalah serendah RM700 manakala kakitangan swasta adalah RM1,000.

Kami memperuntukkan RM54 juta untuk diagihkan kepada peminjam. Sehingga suku pertama tahun ini, jumlah yang telah agihkan adalah 28 peratus, iaitu RM15 juta.

Tawaran pembiayaan pinjaman ini masih terbuka kepada bakal anggota yang ingin membuat pinjaman daripada Moccis manakala kaedah pembayaran balik adalah melalui Biro Potongan Angkasa atau Potongan Gaji Majikan, namun perkhidmatan ini ditawarkan selepas menjadi anggota Moccis dengan kadar faedah antara 4.9 peratus hingga 5.9 peratus bergantung kepada tempoh bayaran balik.

Bagi mendapat pembayaran balik daripada peminjam, kami sudah menstruktur balik organisasi dengan memecahkan Jabatan Pembiayaan dan Keanggotaan menjadi dua jabatan berasingan iaitu mewujudkan Jabatan Kutipan Semula.

Bagaimana dengan produk lain?

Bagi menjadikan Moccis lebih agresif, kami turut menawarkan perkhidmatan pajak gadai Ar-Rahnu dan kini mempunyai dua cawangan iaitu di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur serta Mantin, Negeri Sembilan. Rangkaian ketiga akan dibuka di Sungai Way, Petaling Jaya pada September tahun ini.

Pembukaan cawangan pertama Kedai Coop 1Malaysia oleh Moccis pada 27 Mac lalu turut menawarkan harga produk 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran. Dua lagi cawangan akan dibuka di Putrajaya dan Selangor.

Moccis juga turut memberi fokus di dalam sektor perladangan yang diuruskan oleh anak syarikat Moccis iaitu Ladang Moccis Sdn Bhd (LMSB) di Teluk Intan, Perak dengan keluasan ladang lebih 350 ekar.

Bagaimana dengan perancangan pada 2013?

Kami merancang untuk menumpukan kepada aktiviti pembangunan hartanah dengan rakan kongsi yang berdaya saing. Ini kerana Moccis mempunyai pengalaman dalam bidang terbabit ketika membangunkan Desa Moccis pada 1994.

Selain itu, sasaran Moccis pada tahun depan adalah untuk membuka empat lagi cawangan pajak gadai Ar-Rahnu di sekitar Selangor didorong oleh prospek serta unjurannya yang semakin positif.

No comments:

Post a Comment