Thursday, July 5, 2012

27 koperasi terima pinjaman

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_01.htm

Published: July 04, 2012
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

KUALA KRAU 3 Julai - Sebanyak 27 koperasi di negeri ini diberi pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bernilai RM5.18 juta sehingga akhir tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, pinjaman itu digunakan untuk modal pusingan kerja kontrak, membeli tanah dan bangunan serta memberi pinjaman semula kepada anggota koperasi.

Menurutnya, sehingga pertengahan Jun lalu, pinjaman TMP bernilai RM4 juta diberikan kepada tiga koperasi iaitu Koperasi Peserta Felda Gugusan Tembeling Tengah Bhd., Jerantut; Koperasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang dan Koperasi Kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan Berhad.

''Kecemerlangan gerakan koperasi seperti ini patut menjadi model kepada koperasi yang lain daripada sudut urus tadbir yang baik, keupayaan dan kecekapan lembaga pengarah koperasi dalam merebut peluang ekonomi.

''Amalan pentadbiran cekap itu untuk memastikan koperasi dapat diuruskan dengan baik dan efektif bagi menjamin akauntabiliti korporat di sektor koperasi,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Koperasi Negara peringkat negeri yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Balora Mastika, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKMM) Jaafar Muhayat.

Menurut Ishak, Gerakan koperasi mula diperkenalkan di negara ini pada 1922 dan kini berkembang dengan pesat dalam membantu mengukuhkan ekonomi rakyat.

No comments:

Post a Comment