Wednesday, July 11, 2012

Teroka 3 negara

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Teroka3negara/Article/index_html

Published: July 10, 2012
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

TRIPLENINE Goldworld Gallery (Triplenine), syarikat tempatan milik penuh Bumiputera yang menyediakan perkhidmatan jual beli emas terpakai, emas, dinar, barang kemas dan syiling emas, yakin dapat menembusi pasaran emas serantau dengan sasaran tiga negara sebagai permulaan iaitu Indonesia, Brunei dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozaini Rosdin berkata, syarikat akan membuka cawangan di Jakarta, Indonesia dalam dua bulan lagi.

“Di negara ini, Triplenine mempunyai tujuh cawangan iaitu Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sarawak dan terbaru kita berjaya membuka cawangan di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kita yakin dengan potensi syarikat untuk terus berkembang bukan saja di dalam negara, malah di luar negara.

“Bandar metropolitan Jakarta di Indonesia dijangka menjadi cawangan pertama luar negara dan kami yakin dapat dilaksanakan dua bulan lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian cawangan ketujuh Triplenine di Jalan BBN 1/7 D Putra Indah A, Bandar Baru Nilai, Nilai, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

Majlis pelancaran cawangan ketujuh Triplenine itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Daud Tahir.

No comments:

Post a Comment