Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121002/je_01/Syarikat-jongkong-emas-diserbu
Published: October 02, 2012
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Sebuah syarikat pelaburan
jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. yang dipercayai menjalankan
urus niaga bernilai kira-kira RM4 bilion termasuk melibatkan pelaburan
kerajaan negeri dan orang kenamaan (VIP) diserbu pihak berkuasa hari
ini.
Serbuan itu dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Polis
Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Difahamkan, siasatan dan serbuan terhadap syarikat itu yang terletak
di Jalan Kuchai Lama di sini dilakukan setelah beberapa pelabur yang
menjadi mangsa tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
Sumber memberitahu, syarikat berkenaan sebelum ini pernah terlibat
memperdayakan pelabur melalui skim pelaburan berbentuk piramid.
Menurutnya, syarikat itu bagaimanapun ditutup dan pemiliknya menghilangkan diri selepas kegiatan mereka terbongkar.
"Bagaimanapun, pemilik syarikat sama dipercayai kembali menubuhkan
syarikat pelaburan baru menggunakan nama lain untuk memperdayakan
pelabur.
"Kali ini, syarikat berkenaan menawarkan pelaburan emas bagi menarik
pelabur yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk
kerajaan negeri, VIP dan artis," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ada beberapa mangsa sanggup membuat pelaburan mencecah jutaan ringgit kerana dijanjikan pulangan yang lumayan.
Difahamkan, selain menawarkan pelaburan kepada rakyat tempatan,
syarikat berkenaan turut mempunyai cawangan di Singapura dan
memperdayakan pelabur di negara jiran itu.
Menurut sumber itu, aktiviti penipuan pelaburan emas itu berkembang
luas di seluruh negara tetapi laporan polis paling banyak diterima
daripada mangsa di Perak.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan di sini
memaklumkan bahawa satu operasi serbuan telah dilakukan hari ini
terhadap Genneva Malaysia Sdn. Bhd.
Menurut kenyataan itu, syarikat tersebut dipercayai telah melakukan
kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh agensi-agensi
penguat kuasa berkenaan.
"Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura juga telah mengambil tindakan yang sama ke atas Genneva Pte. Ltd. di republik itu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melabur wang
mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kegiatan yang menyalahi
undang-undang," katanya.
Pada Mei lalu, sebuah akhbar melaporkan transaksi jual beli dan
pelaburan emas syarikat Genneva Malaysia didapati tidak mematuhi
sepenuhnya peraturan hukum syariah dan undang-undang negara.
Ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin.
Pada 1 Ogos lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat
laporan polis terhadap syarikat pelaburan emas itu yang didakwa
menjalankan urus niaga syariah tidak mematuhi keputusan muzakarah itu.
Sementara itu, kira-kira 400 pelabur dan juru runding syarikat itu
berkumpul di hadapan pejabat syarikat tersebut sejak petang ini selain
terkejut dengan serbuan pihak berkuasa.
Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan itu kerana mendakwa
syarikat berkenaan beroperasi secara sah dan tidak pernah menipu
pelanggan sejak ditubuhkan pada tahun 2010.
Seorang jururunding yang ditemui Mohd. Sani Royan, 52, berkata,
urusan perniagaan di syarikat pelaburan tersebut berjalan lancar sejak
dua tahun lalu sebaik sahaja dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, malah urus niaga pelaburan emas di syarikat tersebut
adalah berdasarkan syariah supaya orang Islam boleh melabur emas dalam
bentuk jongkong dan tablet.
"Saya yakin syarikat ini adalah betul dan membawa keuntungan
berpatutan kepada pelabur termasuk saya yang merupakan seorang pesara
kerajaan.
"Kami sebenarnya menjadi mangsa pesaing dari syarikat lain yang cemburu dengan kejayaan syarikat ini," katanya.
No comments:
Post a Comment