Friday, October 12, 2012

Serbuan Ke Atas Syarikat Pelaburan Emas Untuk Lindung Kepentingan Pelabur, Kata BNM

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=701057

Published: October 11, 2012

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Serbuan terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas dibuat untuk melindungi kepentingan para pelabur dan orang ramai daripada menjadi mangsa skim haram tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama Rabu, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia berkata hasil pemantauan dan pemerhatian ke atas syarikat-syarikat berkenaan telah menunjukkan bahawa syarikat-syarikat tersebut menjalankan skim yang dipercayai tidak mampu bertahan lama bagi membuat pembayaran bulanan yang lumayan seperti dijanjikan, dan mereka juga tidak dapat membuat belian balik emas yang telah dijual kepada para pelabur.

"Skim ini tidak boleh bertahan lama memandangkan pulangan yang dijanjikan adalah bukan daripada urus niaga emas tetapi diambil daripada wang pelaburan para pelabur baharu.

"Siasatan yang dibuat juga menunjukkan bahawa jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat tersebut adalah amat kecil dan tidak sejajar dengan jumlah wang yang dilaburkan oleh para pelabur skim ini," kata agensi-agensi tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum serbuan bersama dibuat, didapati bahawa syarikat-syarikat tersebut telah melengahkan pemulangan emas mahupun pembayaran wang kepada para pelabur dalam tempoh masa yang dijanjikan.

Kesemua ini merupakan tanda-tanda awal kegagalan skim ini yang akan mengakibatkan para pelaburnya mengalami kerugian yang besar, kata agensi-agensi tersebut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment