Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=702700
Published: October 17, 2012
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap lebih
ramai peniaga runcit daripada kaum Cina memanfaatkan Program
Transformasi Kedai Runcit (Tukar) kerana bilangan mereka masih rendah.
Beliau berkata tahun lepas, peserta kaum Cina hanya tujuh peratus
daripada jumlah keseluruhan, manakala untuk tempoh 10 bulan tahun ini
cuma empat peratus.
"Saya berharap peniaga Cina yang mendominasi bidang peruncitan di
negara ini dapat mengubah persepsi mereka dan menyertai Tukar bagi
mempertingkatkan daya saing perniagaan mereka.
"Kita telah melantik dua koperasi milik kaum Cina sebagai konsultan
mereka bagi menyertai Tukar iaitu Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad
(KOJADI) dan Koperasi Peralihan Usahawan Cina Malaysia (KPUCM)," katanya
kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau yang ditemui selepas merasmikan projek Tukar Meulur Sejahtera
Enterprise, berkata program Tukar berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama
apabila 522 kedai runcit ditransformasikan setakat ini, melebihi
sasaran pada 500 kedai runcit setahun.
Katanya program itu merupakan antara projek permulaan (EPP) yang
dikenal pasti kerajaan bagi memodenkan kedai runcit tradisional untuk
meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan
yang kompetitif.
"Kedai-kedai lama yang bertukar wajah di bawah program ini ternyata
menguntungkan di mana kebanyakan kedai terbabit mencatat peningkatan
jualan antara 200 hingga 300 peratus," katanya.
Beliau berkata transformasi itu melibatkan perubahan fizikal kedai
runcit yang lebih baik, pencahayaan, penyusunan barangan yang lebih
kemas dan teratur serta penambahan kepelbagaian stok barangan.
Sementara itu, pemilik kedai Meulur Sejahtera Enterprise, Syahadad M.
Husin, 22, berkata sejak kedai runcitnya ditransformasikan, semakin
ramai pelanggan yang datang dan purata hasil jualan meningkat 30 peratus
dengan perolehan mencecah RM20,000 seminggu berbanding RM15,000 sebelum
ini.
Beliau berkata Tesco Store (Malaysia) Sdn Bhd yang berperanan sebagai
konsultan kepadanya sentiasa memberi sokongan dan akan berkunjung ke
kedai setiap bulan untuk membantu dalam operasi kedai runcitnya itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment