Thursday, October 11, 2012

Harga emas lepasi RM6,158 seaun 2014

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121011/ek_02/Harga-emas-lepasi-RM6158-seaun--2014

Published: October 11, 2012

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Harga emas dunia dijangka melepasi paras AS$2,000 (RM6,158) seaun dalam tempoh dua tahun lagi disebabkan permintaan yang tinggi di kalangan pembeli dari Asia. (Satu aun bersamaan 28.34 gram)
Pengarah Dana Runcit, Bahagian Pengurusan Dana, AMMB Holdings Bhd., Ng Chze How berkata, corak kenaikan harga emas dijangka terus positif untuk jangka masa panjang berdasarkan prestasi konsistennya sepanjang dekad ini.

"Saya menjangkakan purata harga emas akan melebihi AS$1,800 (RM5,542) seaun dalam tempoh setahun dan melebihi AS$2,000 (RM6,158) seaun dalam tempoh 24 bulan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat peluang pelaburan emas di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden, Pengurus Portfolio, DWS Investments GmBH, Manuel Tenedkedshijew.
Chze How berkata, peningkatan tersebut disebabkan kelemahan mata wang Dolar Amerika Syarikat telah menyebabkan kelompok kaya dari rantau Asia seperti China, India dan Asia Barat menjadi semakin kaya.

"Kelompok ini merupakan antara golongan pembeli komoditi emas yang besar dan kuasa beli mereka akan meningkat dalam tempoh ini.
"Kadar faedah yang rendah juga antara faktor permintaan terhadap komoditi berkenaan meningkat pada masa depan untuk tempoh jangka masa sederhana dan panjang," jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi dana pelaburan emas AmPrecious Metals di bawah AmIslamic, Chze How berkata, sejak dilancarkan pada 2007, saiz dana berkenaan telah mencapai RM500.76 juta bersamaan 717.11 juta unit.

Menurutnya, prestasi saham perlombongan emas telah mengatasi prestasi nilai emas fizikal dalam tempoh 10 tahun sebelum ini dan corak ini akan berterusan kerana mendapat permintaan yang tinggi.
"Saham perlombongan emas mempunyai kelebihan tersendiri berbanding emas fizikal antaranya kos penyimpanan, transaksi dan insurans yang rendah selain diuruskan oleh pengurus dana profesional.
"Pelaburan ekuiti emas juga menawarkan pendapatan tambahan melalui dividen yang diberikan pengurus dana," ujarnya.

Sementara itu, Manuel berkata, harga emas telah mencatatkan peningkatan sebanyak 116 peratus kepada purata AS$1,700 (RM5,234) seaun sekarang berbanding AS$700 (RM2,155) seaun pada Oktober 2008.
"Pertumbuhan komoditi ini jauh lebih baik berbanding bon dan juga komoditi lain di pasaran dunia," katanya.

No comments:

Post a Comment