Penjaja atau peniaga makanan boleh dikatakan sudah sinonim dengan budaya masyarakat negara ini yang majmuk dalam memenuhi cita rasa menjamu selera.
Source from (Harian Metro):
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PP1Mtingkatekonomipenjaja/Article/index_html
Published: July 15, 2013
Peranan penjaja atau premis makanan bukan lagi sekadar untuk
menikmati hidangan sebaliknya meliputi fungsi sosial seperti lokasi
santai keluarga, perbincangan perniagaan, perkongsian minat sukan dan
sebagainya.
Menyedari hakikat itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Program Strategi Lautan Biru
Kebangsaan (NBOS) mengambil inisiatif melaksanakan Program Penjaja
1Malaysia (PP1M).
Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi
kerajaan dan swasta iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Setiausaha
Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
(JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Belia dan Sukan
dan Kementerian Dalam Negeri.
Turut terbabit Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS),
sukarelawan IM4U, persatuan penduduk serta persatuan penjaja dan peniaga
kecil.
Sektor swasta yang turut terbabit pula adalah Shell, Petronas,
Giant Hipermarket, Alam Flora, Nestle Product Malaysia, NSK Trade City
dan AEON yang sentiasa menyokong pelaksanaan aktiviti PP1M dari segi
penajaan dan sukarelawan dalam setiap aktiviti dianjurkan PP1M.
Pembabitan sektor swasta ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan kos pembiayaan bagi pelaksanaan program PP1M.
Bagi memastikan PP1M benar-benar mencapai objektif yang disasarkan
iaitu untuk meningkatkan ekonomi golongan peniaga dan penjaja kecil,
pelaksanaan PP1M adalah dengan mengambil kira keperluan dan kesesuaian
pihak penjaja itu sendiri.
Sehubungan itu KPDNKK mengambil kira pandangan persatuan peniaga
dan penjaja kecil dalam merangka aktiviti dan program yang bersesuaian.
Fokus utama adalah untuk memastikan pendapatan penjaja dan
peniaga kecil dapat ditingkatkan melalui premis perniagaan yang bersih
manakala produk makanan dan minuman yang dijual adalah berkhasiat.
Untuk itu, premis perniagaan penjaja seperti medan selera atau
gerai perlu ditransformasikan menjadi sebuah pusat perniagaan yang serba
lengkap dan selesa bukan saja kepada pelanggan, malah kepada peniaga
itu sendiri.
Di bawah NBOS, kerja mentransformasi infrastruktur premis penjaja ini dilaksanakan secara gotong-royong.
Pendekatan ini bukan saja dapat menjimatkan kos pelaksanaan,
malah dapat menggabungkan idea dan buah fikiran pihak yang
berkepentingan khususnya penjaja sendiri.
Gabungan tenaga dan idea itu dapat membuahkan satu jalan
penyelesaian bersepadu ke arah mentransformasi premis penjaja dengan
menganjurkan aktiviti gotong-royong membaik pulih dan menaik taraf
premis penjaja.
Melalui gotong-royong yang sudah dilaksanakan di 13 lokasi PP1M
setakat ini, kerja membaik pulih dan menaik taraf premis dilaksanakan
meliputi aktiviti pembersihan, mengecat premis perniagaan dan membaik
pulih kemudahan di medan selera.
Aktiviti lain ialah kerja pendawaian elektrik, menggantikan
kemudahan rosak, menyeragamkan papan tanda gerai dan membersihkan
kawasan persekitaran termasuk longkang dan sistem perparitan.
Dari aspek kebersihan dan kesihatan, Kementerian Kesihatan memberi
bimbingan kepada penjaja berhubung panduan penyediaan sajian makanan
bersih dan berkhasiat di samping kebersihan persekitaran gerai.
Ia dapat menghindari persekitaran gerai busuk, pembiakan tikus
dan lalat serta perparitan yang dipenuhi sampah. Cara demikian bukan
saja dapat memberi imej lebih positif kepada golongan penjaja dan
pengusaha premis makanan, malah meningkatkan taraf pendapatan mereka
apabila premis penjaja kelihatan lebih meyakinkan untuk menarik
pelanggan.
Daripada perspektif Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah
Persekutuan, pelaksanaan program gotong-royong PP1M di Pusat Penjaja
Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Kampung Baru, Kuala Lumpur tahun
lalu berjaya mengubah imej pusat penjaja itu kepada sebuah lokasi
menjamu selera yang lebih berdaya maju dan meyakinkan.
Selepas lokasi itu menjadi lokasi sulung program gotong-royong
PP1M, transformasi infrastruktur dan kemudahan di situ berjaya
meningkatkan jumlah pengunjung setiap hari.
Ia bukan sekadar pengunjung dalam kalangan penduduk
berhampiran, malah turut menarik minat pelancong asing kerana kedudukan
medan selera itu di tengah ibu kota.
Program PP1M wajar diperluaskan lagi supaya bilangan penjaja dan
peniaga yang mendapat manfaat daripadanya dapat dimaksimumkan. Dengan
keahlian persatuan itu kira-kira 62,000 di sekitar Kuala Lumpur, usaha
kerajaan melalui NBOS amat diharapkan untuk menaik taraf ekonomi
golongan penjaja.
Lebih-lebih lagi, dengan pembabitan PBT dan KPDNKK selaku pihak yang berkait rapat dengan golongan penjaja dan peniaga kecil.
Sehingga Jun tahun ini, program PP1M dilaksanakan di 13 lokasi medan selera dan pusat penjaja di seluruh negara iaitu:
Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Pusat Penjaja Padang Sarkas, Taiping, Perak.
Medan Selera Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu.
Medan Selera Gerai Majlis Perbandaran Temerloh, Lurah Semantan, Temerloh, Pahang.
Medan Selera Anjung Perdana, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.
Medan Selera Triang, Bera, Pahang.
Medan Selera Brasmana, Kuala Perlis, Perlis.
Bazaar Jalan Lee Sam, Negeri Sembilan.
Anjung Selera, Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Gerai EMBA, Pantai Bersih, Bagan Ajam, Pulau Pinang.
Medan selera Sungai Kuah,Pandak Mayah, Langkawi.
Pasar Majlis Daerah Simunjan, Sarawak.
Medan Selera Batu Gajah, Batu Gajah, Perak.
Pelaksanaan PP1M ini dijangka mampu menepati matlamat yang
ditetapkan hasil kerjasama erat dan perancangan strategik semua pihak
yang terbabit demi masa depan penjaja yang lebih terjamin.
Selain dapat mengeratkan kerjasama di kalangan agensi kerajaan
melalui NBOS, ia juga mampu mendekatkan lagi komuniti penjaja dan
peniaga dengan pihak KPDNKK selaku kementerian yang baru diberi
tanggungjawab menguruskan hal-ehwal golongan peniaga itu.
Program PP1M akan terus diperkembangkan di masa depan dengan
pembabitan lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan agensi
kerajaan.
Di masa akan datang, ia bukan saja menyasarkan kepada perubahan
prasarana penjaja untuk meningkatkan pendapatan mereka sebaliknya turut
memfokuskan kepada transformasi minda golongan penjaja dan peniaga kecil
supaya lebih berwawasan dan berpandangan jauh untuk memajukan kerjaya
perniagaan mereka.