Friday, December 21, 2012

Bank tidak akan diberi kod potongan gaji

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan bahawa institusi perbankan negara tidak akan diberi kod potongan gaji.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121221/dn_21/Bank-tidak-akan-diberi-kod-potongan-gaji
Published: December 21, 2012


ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan bentuk laporan Kredit Spekar 
sambil diperhatikan Presiden Angkasa, Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum 
(tengah) dan Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah 
selepas merasmikan Seminar Transformasi Koperasi Kredit Kebangsaan 
2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya kod potongan gaji itu akan kekal kepada koperasi sahaja.

Menurut beliau, kod potongan gaji itu dipertahankan bagi membolehkan koperasi meneruskan kelangsungan operasinya.

“Kalau bank-bank hendak juga kod potongan gaji, apa yang koperasi ada untuk perniagaan mereka.

“Lagipun, tidak sesuai bank yang boleh diumpamakan seperti kontraktor kelas A mahu mengambil kontrak kontraktor kelas F," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Transformasi Koperasi Kredit Kebangsaan 2012 di sini hari ini.

Bagaimanapun, tegas beliau, koperasi di seluruh negara perlu memastikan pemberian pinjaman dilaksanakan mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan dalam garis panduan.

“Kita berharap koperasi kredit tidak memberi pinjaman sewenang-wenangnya, hanya 60 peratus daripada pendapatan.

“Ini penting untuk mengelakkan penjawat awam terbeban dengan hutang sehingga tidak mempunyai baki gaji untuk dibawa balik ke rumah," ujar beliau.

Sehubungan itu, Ismail Sabri akan mencadangkan penggunaan Sistem Pelaporan Kredit Angkasa-RAMCI (Spekar) digunakan oleh semua koperasi kredit di seluruh negara.

Katanya, perkara itu akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Banyak perkara perlu diambil kira kerana penggunaan sistem pelaporan itu akan mengenakan caj tertentu kepada koperasi.

Spekar adalah sistem seumpama CTOS dan Sistem Rujukan Maklumat Kredit (CCRIS) yang digunakan untuk mendapatkan maklumat kewangan pemohon pinjaman.

No comments:

Post a Comment