Sunday, December 30, 2012

KGMKB peruntuk RM1.508 juta bantu ahli tahun ini

KOTA BHARU 27 Dis. - Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad (KGMKB) membelanjakan sebanyak RM1.508 juta untuk membantu ahlinya dalam tempoh 10 bulan pertama pada tahun ini. Pengerusinya, Ab. Ghani Mat berkata, Tabung Kebajikan Anggota (TKA) mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM877,990 termasuk RM10,000 seorang untuk 25 keluarga anggota yang meninggal dunia.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121228/wt_04/KGMKB-peruntuk-RM1508-juta-bantu-ahli-tahun-ini
Published: December 30, 2012


AB. Ghani Mat (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada suami Allayarham Jimalah Ya, Mohamad Ali di pejabat KGMKM, Kota Bharu, kelmarin.

Katanya, bagi mereka yang menjadi ahli dan pasangannya meninggal dunia pula, memperoleh sumbangan tambahan sebanyak RM5,000.

"Ahli yang sakit dan ditahan di wad pula memperoleh RM50 sehari, maksimum selama 60 hari dalam setahun," katanya semasa majlis penyampaian sumbangan berjumlah RM40,000 kepada tiga waris anggota yang meninggal dunia di pejabatnya di sini semalam.

Wan Zainun Wan Ibrahim, 51, menerima sumbangan tersebut berikutan suaminya, Ghazali Ahmad meninggal dunia akibat serangan jantung pada 13 Disember lalu.

Sementara itu, Mohamad Ali, 55, menerima sumbangan itu apabila isterinya, Jimalah Ya meninggal dunia disebabkan diabetes pada 8 Disember manakala Nik Nab Abd. Halim, 50, menerima sumbangan berikutan kematian suaminya, Saadon Dollah akibat serangan jantung pada 14 Disember lalu.

Ab. Ghani memberitahu, bagi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa dan Dermasiswa (KWBD) pula, KGMK mengeluarkan sumbangan sebanyak RM630,600 kepada 1,402 ahli dan anak-anak mereka.

Katanya, sumbangan itu termasuk berikutan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menerima tawaran ke universiti, kecemerlangan diploma dan ijazah serta tahfiz.

Menurutnya, walaupun pelbagai sumbangan diberikan, tetapi ramai ahli yang tidak mengetahui dalam KGMKB mereka mendapat faedah tersebut.

Justeru, beliau meminta mereka yang menjadi ahli supaya menghubungi KGMKB di talian 09-7482481 atau 7448093 untuk mengetahui faedah yang disediakan.

Katanya, selain sumbangan tersebut, banyak kemudahan lain yang disediakan termasuk pinjaman persendirian, hartanah, perumahan dan ejen insurans.

Terbaru katanya, KGMKB menubuhkan 'ArRahn Koop Guru' yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan tunai sehingga 70 peratus dan jumlah maksimum RM5,000 manakala jumlah gadaian terkumpul pula sebanyak RM25,000.

Katanya, perkhidmatan pajak gadai Islam itu terbuka kepada semua peringkat masyarakat seluruh negeri terutama di sekitar bandar ini.

No comments:

Post a Comment