Saturday, December 22, 2012

Skim pelaburan beras haram

KUCHING 20 Dis. - Syarikat tempatan, Dynamic Wira Marketing Sdn. Bhd., yang menganjurkan skim pelaburan beras melibatkan penduduk Kampung Menjau Batu 21, dekat sini sejak Mei lalu dipercayai telah menjalankan operasi berkenaan secara haram.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121221/wb_02/Skim-pelaburan-beras-haram
Published: December 22, 2012

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun syarikat tersebut didapati berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), skim yang ditawarkannya tidak pernah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Untuk makluman, syarikat yang menganjurkan skim pelaburan melibatkan deposit perbankan perlu mendapat kelulusan BNM, manakala skim berkepentingan melibatkan barangan komoditi seperti ikan keli atau jual beli beras perlu mendapat kelulusan SSM.

"Setiap hasil pelaburan tersebut kemudiannya hendaklah dimasukkan ke dalam satu tabung amanah yang juga perlu mendapat kelulusan SSM.

"Oleh sebab itu, kita mengesyaki syarikat terbabit menjalankan operasi secara haram kerana siasatan awal mendapati kegiatannya selama ini yang melibatkan kedua-dua skim iaitu deposit perbankan serta barangan komoditi tidak melalui kesemua proses tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Isnin lalu, akhbar melaporkan seramai 20 penduduk Kampung Menjau Batu 21 mendakwa kerugian hampir RM2 juta akibat ditipu seorang lelaki yang menawarkan dividen lumayan dalam skim pelaburan beras.

Mangsa menyedari mereka ditipu lelaki yang beroperasi melalui sebuah syarikat dikenali sebagai Dynamic Wira Mar keting Sdn. Bhd., selepas tidak menerima dividen daripada pelaburan tambahan yang dibuat sejak dua bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, pihak kementerian telah mengarahkan SSM menghantar pegawainya untuk menyiasat kes tersebut sebelum tindakan susulan dilakukan.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya yakin kes tersebut tidak menjejaskan reputasi produk jenama 1Malaysia kerana modus operandi suspek adalah melibatkan wang manakala beras sekadar digunakan sebagai umpan.

No comments:

Post a Comment