Sunday, December 9, 2012

66 pemborong dan peruncit dilantik simpan stok

TEMERLOH 7 Dis. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri melantik 66 pemborong dan peruncit bagi menyimpan stok barangan keperluan untuk musim tengkujuh tahun ini. Pengarahnya, Mohd. A. Aruwan Ab.Aziz berkata, perkara itu melibatkan 28 barangan keperluan mangsa banjir seperti beras, minyak masak, tepung, sardin, susu dan lampin pakai buang.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121208/wp_02/66-pemborong-dan-peruncit-dilantik-simpan-stok
Published: December 08, 2012


Mohd. A.Aruwan Ab. Aziz (kiri) bersama para peniaga makanan selepas 
melancarkan Menu Rakyat 1Malaysia di Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuh Raya 
Pantai Timur menghala ke Kuantan di Temerloh baru-baru ini.

Katanya, pemborong dan peruncit yang dilantik di setiap daerah turut diminta mewujudkan stok mini yang berfungsi sebagai pembekal sokongan ketika kecemasan jika kekurangan barangan keperluan itu.

''Walaupun pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan barangan untuk mangsa banjir tetapi PPDNKK bertindak proaktif melantik pemborong dan peruncit jika berlaku kekurangan bekalan.

''Musim tengkujuh di Pahang biasanya berlaku pada November hingga Februari bergantung kepada fenomena alam yang tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Mohd. A. Aruwan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan premis Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif Kanan Fasiliti ANIH Berhad, Zaimawar Mohd. Shah dan Ketua PPDNKK Cawangan Temerloh, Mohd. Yusof Othman.

Jelas beliau, pihak PPDNKK negeri memberi jaminan barangan keperluan pengguna pada musim banjir adalah mencukupi bagi menampung permintaan sekiranya berlaku bencana tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sehingga ini harga ikan adalah stabil walaupun mengikut kebiasaan harga makanan laut meningkat setiap kali November dan Disember.

''Tahun ini sedikit berbeza kerana biar pun sudah memasuki awal Disember, namun nelayan masih boleh turun menangkap ikan seperti biasa sedangkan kebiasaannya ketika ini keadaan laut adalah berbahaya untuk mereka.

''Bagi barangan kawalan pula setakat ini tiada laporan diterima tentang peniaga yang ambil kesempatan menaikkan harga disebabkan musim tengkujuh," jelasnya.

No comments:

Post a Comment