Sunday, December 9, 2012

1,272 usahawan IKS terima TEKUN RM10.4 juta

MUAR 7 Dis. - Sebanyak RM10.4 juta disalurkan pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada 1,271 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Parlimen Bakri sejak Januari 2001 hingga awal bulan ini. Pengurus TEKUN Parlimen Bakri, Kamaruzaman Subari berkata, pada tahun ini sahaja seramai 200 usahawan IKS telah menerima dana berjumlah RM2.09 juta, sekali gus melepasi sasaran peminjam iaitu seramai 120 orang.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121208/wj_03/1272-usahawan-IKS-terima-TEKUN-RM104-juta
Published: December 08, 2012


SAIPOLBAHRI Suib (kiri) menyerahkan cek pinjaman TEKUN kepada salah 
seorang penerima sambil diperhatikan oleh Kamaruzaman Subari di Bakri, Muar semalam.

"Peningkatan bilangan peminjam TEKUN bukan hanya berlaku di Parlimen Bakri, tetapi di seluruh negara berikutan peningkatan peruntukan yang disediakan kerajaan untuk membantu golongan usahawan dalam bidang IKS.

"TEKUN semakin menjadi pilihan usahawan IKS untuk mendapatkan pinjaman antara RM1,000 hingga RM50,000 kerana proses permohonannya mudah dan cepat berbanding institusi perbankan," katanya semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Pinjaman TEKUN kepada 24 usahawan IKS Parlimen Bakri di Restoran Kita, Bakri, dekat sini hari ini.

Penyerahan cek tersebut disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib. Yang turut hadir Pengarah TEKUN negeri, Zuraidi Khalid.

Dalam perkembangan lain, Kamaruzaman berkata, bilangan peminjam dari Bakri yang disenarai hitam kerana kegagalan melunaskan pinjaman dalam tempoh lima tahun masih lagi terkawal dan akan dibantu untuk meringankan beban mereka.

Beliau berkata, TEKUN akan menyediakan inisiatif lain untuk membantu mereka memulihkan nama dengan memanjangkan semula tempoh pembayaran balik mengikut jumlah yang lebih rendah.

Sementara itu, Saipolbahri menyarankan supaya sebuah persatuan usahawan IKS ditubuhkan di Bakri yang akan dikendalikan TEKUN dan menjadi rangkaian dengan berfungsi membantu mereka memajukan perniagaan masing-masing.

"Cara seperti ini sudah lama digunakan oleh usahawan Cina sehingga menjadikan ramai antara mereka berjaya dalam perniagaan yang dijalankan," katanya.

Seorang penerima pinjaman, Nuryushanun Yusof, 25, gembira kerana berjaya mendapatkan pinjaman kedua berjumlah RM19,646 pada kali ini.

Dia yang mengusahakan perniagaan menjual pakaian di Jalan Ibrahim, di sini bercadang menggunakan pembiayaan itu sebagai modal tambahan untuk membesarkan perniagaan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment