Friday, July 27, 2012

Pantau harga barangan basah

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20120726/wp_02/Pantau-harga-barangan-basah

Published: July 26, 2012
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 25 Julai - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri sentiasa memantau harga barangan basah seperti ikan dan ayam terutama sepanjang Ramadan ini.

Pengarahnya, A. Aruwan Ab. Aziz berkata, pemantauan berterusan itu bagi memastikan para peniaga tidak sesuka hati menaikkan harga barangan tersebut.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab pihaknya membuat pemantauan setiap hari bukan sahaja ke atas barangan basah seperti ikan dan ayam malah barangan lain seperti minyak masak, tepung dan gula.

"Proses pemantauan ini memang kita lakukan secara berterusan dan dalam bulan Ramadan ini apa yang kita risaukan bukan kenaikan harga barang kerana ia dipantau setiap hari tetapi bekalan barangan itu sama ada mencukupi atau tidak.

"Pihak kami akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan bukan sahaja harga barangan basah tidak dinaikkan malah bekalan barangan mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pemantauan pihaknya terhadap barangan basah seperti ikan dan ayam pada bulan Ramadan ini.

A. Aruwan berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati harga ayam yang dijual di daerah Pekan turun 50 sen daripada RM8.00 sekilogram kepada RM7.50 sekilogram.

Tambahnya, di daerah ini juga harga ayam didapati turun 30 sen daripada RM7.80 sekilogram kepada RM7.50 sekilogram.

"Tetapi masih terdapat kawasan-kawasan di Kuantan yang mengekalkan harga ayam RM7.80 sekilogram," katanya.

Beliau berkata, penurunan harga ayam itu menunjukkan perkembangan baik namun apa yang dibimbangi adalah bekalannya tidak mencukupi.

"Saya harap orang ramai tidak bimbang mengenai kenaikan harga barangan kerana pihak kami sentiasa melakukan pemantauan menyeluruh," jelasnya.

No comments:

Post a Comment