Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Luarbandarterusdiutama/Article
Published: July 13, 2012
Selama: Sektor luar bandar kekal menjadi agenda utama pembangunan
kerajaan, dengan pelbagai pelan perancangan baru untuk meningkatkan
kehidupan masyarakatnya.
Kerajaan mahu semua program dirancang dan dilaksanakan akan
membolehkan penduduknya menikmati kehidupan lebih baik, saksama dan
adil.
Ini atas kesedaran masyarakat luar bandar memerlukan sokongan kerajaan untuk kehidupan lebih sempurna.
Berucap merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar Mini (Mini RTC)
Sungai Siputeh di sini, semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, berkata luar bandar mengalami evolusi sejak 55 tahun
lalu dan akan terus diberi keutamaan.
Katanya, kerajaan sudah menyalurkan peruntukan RM26 bilion bagi tahun 2011 hingga 2013 bagi pembangunan luar bandar.
“Pada 2011 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, kerajaan
membina dan menaik taraf 1,013 kilometer jalan di luar bandar yang
memberi impak positif kepada 425,377 penduduk.
“Selain jaringan jalan raya, 73,227 rumah dibekalkan air bersih
yang memberi faedah kepada 366,135 orang. Projek penyediaan bekalan
elektrik memberi manfaat kepada 27,004 rumah, manakala 14,365 rumah
dibina atau dibaiki untuk golongan miskin,” katanya.
Di Taiping, berucap merasmikan Hotel Taiping Perdana bernilai RM28
juta, Muhyiddin meminta pengurusan koperasi membuat penilaian semula
matlamat institusi masing-masing berhubung hala tuju dan masa depan
mereka.
Katanya, negara kini melalui proses transformasi ekonomi dan
sosial melalui Model Baru Ekonomi (MBE) dan gagasan 1Malaysia,
menjadikan peranan dan sumbangan koperasi terhadap ekonomi negara amat
signifikan dan strategik.
Justeru, koperasi perlu menggunakan ‘ramuan’ seperti perancangan
jitu dan menyeluruh, melakukan kajian kebolehpasaran dalam aktiviti
komersial yang mahu diceburi, mempunyai sistem urus tadbir yang efektif
dan kemahiran modal insan yang cekap, untuk melengkapkan diri sebagai
entiti perniagaan yang mampu menjana kejayaan komersial.
“Sasaran sudah ditetapkan supaya sumbangan koperasi kepada KDNK
(Keluaran Dalam Negara Kasar) dipertingkatkan daripada satu peratus
sekarang kepada lima peratus menjelang 2013,” katanya.
Sehingga 31 Disember lalu, ada 9,074 koperasi dengan 7.04 juta
ahli di seluruh negara. Nilai syer/yurannya mencecah RM10.4 bilion,
manakala asetnya bernilai RM92.8 bilion menghasilkan pulangan RM3.08
bilion.
No comments:
Post a Comment