Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Published: July 07, 2012
JERLUN 6 Julai - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
merancang mewujudkan program pemadanan usahawan antara negeri dan negara
dalam usaha membantu mengembangkan perniagaan usahawan mikro di negara
ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, program itu akan
membolehkan usahawan mikro di setiap negeri berhubung antara satu sama
lain untuk mendapatkan maklumat mengenai produk masing-masing dan
bertukar-tukar pandangan bagi melahirkan idea baru.
"Mereka juga dapat memasarkan produk mereka di kedua-dua negeri
melalui ejen yang dilantik oleh usahawan itu sendiri dan ia dapat
meluaskan pasaran usahawan yang sebelum ini hanya tertumpu di negeri
masing-masing," katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan dengan
Usahawan Tabung Ekonomi Usaha Niaga (Tekun) Nasional peringkat Parlimen
Jerlun di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Urusan Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan dan Ketua Wanita Kedah, Datuk Maznah Hamid.
Ahli Parlimen Jerlun itu juga berkata, kementeriannya turut
menggalakkan usahawan mikro menceburi pasaran negara jiran seperti
Indonesia dan Thailand.
Mukhriz berkata, usahawan tersebut perlu mendaftar dengan Perbadanan
Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi mendapatkan
maklumat terkini mengenai pasaran luar dan misi dagangan yang
disediakannya.
Menurut beliau, kementeriannya juga menyediakan peruntukan kepada
usahawan bagi membantu mereka memasarkan produk ke negara luar seperti
yang dilakukan di China sebelum ini.
"Ramai usahawan mikro yang menembusi pasaran negara asing mengakui
mendapat permintaan tinggi terhadap produk mereka sekali gus mendapat
keuntungan lumayan," katanya.
No comments:
Post a Comment