Tuesday, July 24, 2012

Koperasi jana pendapatan RM7.9j

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_01.htm

Published: July 24, 2012
Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 21 Julai - Sebanyak RM7.9 juta pendapatan berjaya dijana 42 kedai koperasi di negeri ini melalui program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dari Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, dalam tempoh berkenaan juga tiga kedai koperasi telah berjaya menjadi Pusat Pengedar (DC) dengan menjana pendapatan purata RM91,000 sebulan.

“Ini jelas menunjukkan program Tukar dapat membantu koperasi di negeri ini meningkatkan jumlah perolehan khususnya koperasi berskala kecil," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) di Wisma Pertanian di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Maznah Ghani dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia negeri, Umar Sarim Saidin.

Menurut Yahya, pergerakan koperasi di negeri ini amat berpotensi untuk maju seterusnya menjana pendapatan lumayan.

Beliau memberitahu, bilangan koperasi di Sabah menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8 peratus setahun dengan menyaksikan sebanyak 90 buah koperasi diwujudkan sehingga Mei tahun ini.

“Keanggotaan koperasi juga meningkat daripada 278,965 orang pada Disember 2011 kepada 280,313 orang sehingga Mei tahun ini," katanya.

Sementara itu, Yahya yang juga Pengerusi MPKN berkata, SKM bercadang membuka kedai COOP 1Malaysia di negeri ini pada masa akan datang.

Jelasnya, buat masa ini hanya terdapat sebuah kedai COOP 1Malaysia di Labuan yang mampu menjana perolehan purata RM116,000 sebulan.

No comments:

Post a Comment