Sunday, July 15, 2012

Langkah perkasakan koperasi

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

Published: July 14, 2012
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tiga pendekatan baru bagi memperkasakan peranan koperasi di seluruh negara sesuai dengan kedudukannya sebagai teras ketiga pembangunan ekonomi.

Perdana Menteri berkata, pendekatan itu ialah memisahkan kuasa yang ada pada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam melakukan kawal selia am ke atas koperasi seluruh negara supaya badan itu dapat memfokuskan ke arah pembangunan terutama yang bersaiz kecil.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga mengambil keputusan untuk menaikkan had maksimum geran pembangunan bantuan asas kerajaan ke atas penubuhan koperasi dari RM30,000 kepada RM50,000 bagi meningkatkan daya saing masing-masing.

Langkah ketiga pula, menurut beliau adalah untuk menubuhkan Skim Pembiayaan Ekonomi Anggota Koperasi (SPEAK) 1Malaysia bagi penyaluran daya pembiayaan mikro untuk koperasi menjana ekonomi anggotanya.

"Jika dilihat matlamat dan peranan koperasi, ia sama dengan apa yang boleh dilakukan oleh sektor awam termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta.

"Namun masih terdapat ruang dan peluang yang boleh dimainkan koperasi untuk membangunkan ekonomi secara terancang dan dengan pengurusan cekap dapat menjana pendapatan yang diperlukan oleh ahlinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sambutan tersebut merupakan kali pertama diadakan dalam skala terbesar selepas 11 tahun penganjurannya dengan kehadiran kira-kira 60,000 ketua serta 9,600 wakil dan ahli koperasi seluruh negara.

Perdana Menteri menambah, kesemua langkah pembaharuan itu dilaksanakan bagi memastikan gerakan koperasi mencapai potensi maksimum dalam membangunkan ekonomi ahli masing-masing.
"Para penggerak koperasi juga boleh melihat bagaimana pembangunan teknologi dan proses yang lebih efisien mampu melonjakkan peranan mereka bukan sahaja dalam negeri tetapi di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment