Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20120725/je_01/Bank-tempatan-rugi-RM75-juta-ditipu
Published: July 25, 2012
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 Julai - Sebuah bank tempatan kerugian RM75 juta
selepas diperdaya sekumpulan individu menggunakan taktik licik
mencagarkan emas palsu melalui sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) di
beberapa cawangan bank itu di seluruh negara, baru-baru ini.
Menurut sumber, kegiatan kumpulan itu hanya terbongkar selepas pihak
bank mendapati kesemua emas yang dicagarkan adalah palsu ketika proses
penilaian aset dibuat.
Tambahnya, kegiatan itu dipercayai melibatkan orang dalam sehingga
menyebabkan pinjaman diluluskan serta pembayaran dibuat terhadap
kumpulan tersebut.
"Berikutan itu, lima laporan polis telah dibuat dan satu siasatan
kini dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman.
"Satu siasatan dalaman turut dilakukan oleh pihak bank bagi mengesan dalang yang terlibat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, beberapa individu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kata sumber itu lagi, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk
mengesan dalang terlibat dan dijangka membuat beberapa tangkapan tidak
lama lagi.
Timbalan Pengarah JSJK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Tajuddin
Md. Isa ketika dihubungi mengesahkan kes itu tetapi enggan mengulas
lanjut.
Kejadian itu merupakan yang ketiga dalam tempoh hampir dua tahun melibatkan tiga buah bank.
Utusan Malaysia pada 17 Februari lalu mendedahkan, sebuah bank di ibu
negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua
syarikat yang mendakwa mendapat projek penyelenggaraan pesawat Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pada 24 Oktober lalu pula, sebuah bank tempatan mengalami kerugian
teruk sepanjang 26 tahun tempoh perniagaannya selepas ditipu sebanyak
RM37 juta melalui sebuah komplot pinjaman sebuah syarikat, dua tahun
sebelum itu.
No comments:
Post a Comment