Saturday, July 14, 2012

Malaysia pelopor kerjasama koperasi

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Published: July 13, 2012

KUALA LUMPUR 12 Julai - Malaysia bakal menjadi pelopor kerjasama antara koperasi di rantau ini apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Vietnam Jumaat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peluang kerjasama dengan koperasi-koperasi di rantau ini adalah untuk meneroka pasaran besar serta peluang perniagaan baru.

‘‘Ahli-ahli koperasi di rantau ini mencecah sehingga 78 juta orang dan ia memberi peluang untuk koperasi tempatan mencari jalan kerjasama dalam memberikan manfaat kepada ahli-ahli serta mengukuhkan hubungan antara negara-negara terlibat.

‘‘Perjanjian kerjasama antara koperasi akan mula dilaksanakan dengan Vietnam terutama dalam bidang pertanian yang bakal dimeterai pada Jumaat ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pemeteraian MoU itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) pada tahun ini yang juga merupakan Tahun Koperasi Antarabangsa.

Tambah Ismail Sabri, selain Vietnam, Malaysia akan memeterai MoU antara koperasi dari negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina pada tahun ini.

‘‘Pada dasarnya kesemua negara-negara tersebut telah bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan kita, tetapi perincian dan bidang yang bakal diceburi masih belum dimuktamadkan.

‘‘Bagaimanapun, kita melihat potensi kerjasama dalam bidang pertanian dan ternakan dengan Indonesia dan potensi pembukaan pasar raya besar dari Singapura,’’ jelasnya.

Ismail Sabri berkata, koperasi-koperasi kini perlu berubah dengan memperkenalkan jenis-jenis perniagaan baru dalam usaha untuk kekal berdaya saing dan memberikan manfaat kepada ahli-ahli mereka.

‘‘Kita perlu bergerak ke hadapan dan bersedia untuk berubah serta meneroka peluang-peluang baru terutama dalam bidang perniagaan.

‘‘Antara peluang perniagaan yang boleh diceburi koperasi-koperasi ini adalah telekomunikasi, perhotelan, teknologi maklumat, pusat kesihatan dan sebagainya.

‘‘Pengurusan koperasi juga perlu lebih profesional bagi memastikan tiada sebarang konflik berlaku dalam operasi mereka,’’ katanya.

Majlis perasmian sambutan HKN 2012 itu yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selaras tema sambutan HKN tahun ini iaitu ‘Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat’, kekuatan sedia ada dalam gerakan koperasi akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelaksanaan program transformasi kerajaan untuk rakyat khususnya dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

No comments:

Post a Comment