Monday, July 9, 2012

YaPEIM cadang kembang sayap ke Thailand

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Published: July 08, 2012
Sofian Baharom

Pracha Prompok (dua, kanan) bersama Abdul Malek Awang 
Kechil (dua, kiri) semasa melakukan gimik perasmian 
Persidangan Sekritariat Ar Rahnu Serantau 2012 di Pattani, semalam.

PATTANI 7 Julai - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bercadang menembusi pasaran Pattani, menerusi perniagaan francais dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Malek Awang Kechil berkata, ia berikutan kestabilan perniagaan Ar-Rahnu YaPEIM di Malaysia yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan.

"Hasrat ini akan disuarakan kepada kerajaan Thailand dan serantau di Persidangan Sekretariat Ar-Rahnu Serantau 2012 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

"Thailand kini mengalami masalah kekurangan sumber dana bagi pembangunan perniagaan Ar-Rahnunya dan kami melihat situasi ini sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan di sini, di samping membantu Thailand membangunkan perniagaan Ar-Rahnu mereka," katanya.

Abd. Malek berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan Persidangan Sekretariat Ar-Rahnu Serantau 2012 di sini hari ini.

"Bagaimanapun, kami harus mendapat kebenaran kerajaan Thailand dan berbincang dengan negara-negara serantau terlebih dahulu sebelum melaksanakan hasrat ini.

"Sekiranya dibenarkan untuk berkembang ke Thailand, dengan persetujuan dari mereka, ia bakal menjadi salah satu kaedah untuk membantu koperasi Islam Pattani di mana mereka tidak perlu mencari sumber dana tambahan," ujarnya.

Menurut beliau, YaPEIM kini dalam usaha mengenalpasti beberapa rakan niaga yang berpotensi untuk membiaya sumber dana bagi perlaksanaan perancangannya di sini dan beberapa tempat lain. - utusan
Selain di Pattani, kata Abd. Malek, YaPEIM juga sedang mengintai peluang di beberapa negara ASEAN, Asia Barat dan beberapa benua kecil di India.

"Objektif utama YaPEIM adalah untuk membantu negara serantau dalam perniagaan Ar-Rahnu. Negara yang sudah menyertai kita dan menunjukkan minat terhadap Ar-Rahnu adalah Kemboja dan Timor Leste.

"Di Timor Leste sudah terdapat cabang pergadaian Indonesia yang menunjukkan masyarakat di sana sudah boleh menerima sistem ini. Namun, kita harus membuat kajian lanjut untuk melihat sama ada sistem ini dapat diterima baik di sana atau tidak," ujarnya.

Jelas beliau, YaPEIM telah mengadakan perbincangan dengan Bank Pembangunan Islam dan berkolaborasi dengan beberapa pihak berpengalaman dalam perundingan dalam usaha yayasan tersebut mengembangkan sayapnya ke luar negara.

"Kami sudah mengenalpasti lokasi-lokasi strategik untuk kajian bagi program francais di luar negara dan kajian mengenainya sudahpun bermula," katanya.

No comments:

Post a Comment