Friday, March 15, 2013

AIM Beri Kelonggaran Tangguh Bayaran Pinjaman Kepada Ahlinya Di Lahad Datu

SUNGAI PETANI, 14 Mac (Bernama) -- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memberi kelonggaran kepada ahlinya di kawasan timur Sabah untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman berikutan pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=934505
Published: March 15, 2013

Pengarah Urusan AIM Datuk Zabidah Ismail berkata penangguhan itu bermula sejak insiden pencerobohan itu berlaku dan akan dilanjutkan hingga minggu depan melibatkan 10 cawangan dengan kutipan pinjaman berjumlah kira-kira RM11 juta sebulan.

Beliau berkata AIM mempunyai 22 cawangan di Sabah dengan keahlian seramai 52,000 orang dan kira-kira 21,000 daripada mereka berada di kawasan timur Sabah.

"Sejak insiden itu berlaku pengurusan AIM memutuskan menangguhkan bayaran balik pinjaman yang dibayar setiap minggu manakala kakitangan AIM di sana diberi cuti sehingga suasana reda," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar Pembangunan Halal di sini hari ini.

Zabidah berkata AIM juga akan mengenal pasti kaedah untuk membantu ahli-ahli AIM di Sabah yang perniagaan mereka terjejas akibat insiden pencerobohan itu sejak bulan lepas.

"Sejak insiden pencerobohan itu berlaku AIM memantau perkembangannya bagi membantu Sahabat (ahli) meneruskan perniagaan mereka," katanya,

Dalam pada itu, Zabidah berkata lebih 100,000 ahli AIM atau kira-kira 32 peratus dari 340,000 ahlinya di 123 lokasi di seluruh negara menceburi bidang keusahawanan melibatkan pemprosesan makanan.

Katanya beberapa ahli telah memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan AIM akan berusaha membantu lebih ramai lagi ahli mendapatkan sijil halal.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment