Sunday, March 10, 2013

SKM, MKN Boleh Main Peranan Bantu Sektor Koperasi Sumbang 10 Peratus Kepada KDNK Menjelang 2020

SUBANG JAYA, 8 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Maktab Koperasi Malaysia (MKM) mempunyai peranan besar memastikan sektor koperasi menyumbang 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=933073
Published: March 10, 2013

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sektor koperasi kini menyumbangkan 1.0 peratus kepada KDNK dan disasarkan meningkat lagi 9.0 peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Sehubungan itu, SKM perlu memahami kehendak semasa kira-kira 10,000 koperasi dengan tujuh juta ahli di seluruh negara ketika ini, katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga SKM dan MKM di sini Khamis.

"SKM juga perlu menjadi agensi yang dapat membantu dan memudahkan urusan ahli koperasi kerana merekalah yang menyumbang kepada pencapaian sasaran berkenaan," katanya.

Menurutnya, kini sektor koperasi berada pada tempat ketiga, di belakang sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan, untuk menyumbang kepada KDNK.

Beliau juga meminta ahli-ahli koperasi untuk meningkatkan etika kerja supaya dapat mencapai unjuran 9.0 peratus tersebut.

"Diharapkan pelantikan Pengerusi Eksekutif SKM baharu, Datuk Nik Ali Mat Yunus dan Ketua Pengarah MKM yang baharu, Dr Ahmad Zahiruddin Yahya, dapat menyuntikkan semangat baharu dalam usaha mencapai sasaran tersebut," katanya.

Yang turut hadir ialah bekas Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Shamsudin.

Pada majlis itu semalam, Ismail Sabri turut menerima sumbangan RM3,453 hasil kutipan Tabung Wira Lahad Datu yang disumbang oleh warga kerja SKM dan MKM

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment