Tuesday, March 26, 2013

Peniaga, Penjaja Belum Pernah Buat Pinjaman Diberi Keutamaan Skim Pembiayaan Mikrokredit, Kata Ismail Sabri

TEMERLOH, 25 Mac (Bernama) -- Golongan peniaga dan penjaja yang belum pernah membuat pinjaman dengan mana-mana bank atau institusi kewangan akan diberikan keutamaan mendapatkan pinjaman di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=937320
Published: March 26, 2013

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi kemudahan peniaga dan penjaja untuk mendapatkan pinjaman di bawah skim itu.

"Tahun lepas sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pinjaman kepada peniaga dan penjaja dan tahun ini sebanyak RM100 juta lagi diluluskan.

"Justeru, seramai 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) boleh memohon pinjaman tersebut," katanya ketika merasmikan Seminar Halalan Toyyiban di sini, Isnin.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta untuk skim pinjaman mikro kredit bagi tahun ini dan RM50 juta lagi tahun depan.

Ismail Sabri berkata sehingga kini 17,871 peniaga dan penjaja telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

Daripada jumlah itu, 13,484 ialah penjaja dan 4,395 peniaga.

Dalam pada itu beliau berkata peniaga dan penjaja yang masih membuat pinjaman dengan bank atau lain-lain institusi kewangan atau Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan masih berhutang tidak dibenarkan membuat pinjaman.

Katanya, kemudahan pembiayaan bermula daripada RM1,000 sehingga RM50,000 dan keutamaan diberikan kepada peniaga yang menyediakan Menu Rakyat 1 Malaysia (MR1M) bagi tujuan modal pusingan dan pembelian peralatan.

Ismail Sabri berkata kemudahan pinjaman yang diberikan kepada penjaja dan peniaga kecil itu melambangkan sikap prihatin kerajaan terhadap peranan mereka yang bersama-sama kerajaan meningkatkan hasil dan ekonomi Negara

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment