Sunday, March 10, 2013

Bisnes francais makin popular tahun ini

KUALA LUMPUR - Sistem perniagaan francais mencatatkan peningkatan mendadak 75 peratus pada tahun ini kepada 657 francais daripada hanya 366 pada 2008, kata Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bisnes-francais-makin-popular-tahun-ini-1.137880
Published: March 10, 2013

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Katanya francaisi pula meningkat kepada 5,284 pada tahun ini berbanding 3,891 pada 2008.

"Perkhidmatan penyajian makanan dan minuman merupakan bidang francais yang paling popular dan mencatatkan 35 peratus penyertaan daripada jumlah keseluruhan francais," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo dan Simposium Francais Asean (AFES) 2013 yang akan berakhir esok, di sini.

Simposium itu pertama kali diadakan di Malaysia yang melibatkan 31 penyertaan tempatan dan 29 dari peringkat antarabangsa.

Objektif utama AFES adalah untuk mempromosikan produk-produk francais yang dihasilkan di Asia di samping sebagai satu galakan untuk para peniaga tradisional bertukar kepada sistem francais.

"Francais kena kreatif kerana persaingan dalam industri makanan adalah terlampau sengit, bukan hanya dari industri tempatan malahan luar negara yang dibawa masuk ke dalam negara kita," kata Ismail Sabri.

Menurutnya banyak bidang francais yang baharu diperkenalkan seperti pelajaran, penjagaan kanak-kanak dan penjagaan kesihatan.

"Itu yang kita galakkan kepada orang ramai untuk melibatkan diri dalam bidang dan sektor lain, bukan hanya tertumpu dalam sektor makanan," katanya.

Katanya kerajaan juga akan menambah peruntukan untuk skim pinjaman mikro francais yang mempunyai jumlah peruntukan keseluruhan RM8 juta, yang kini sudah hampir habis.

Beliau berkata dana dalam skim itu sekarang ini cuma tinggal lebih kurang RM1 juta sahaja. - Bernama

No comments:

Post a Comment