BERA 1 April - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM45.86 juta setiap tahun daripada lapan buah Pasar Komuniti & Karavan (Pakar) di seluruh negara. Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, Pakar merupakan konsep perniagaan yang dijalankan di bawah satu bumbung dengan menggabungkan kumpulan penjaja jalanan.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130402/ek_04/Pakar-sasar-jualan-RM459-juta
Published: April 02, 2013
Noh Omar (kiri) menandatangani plak ketika merasmikan Pasar
Komuniti dan Karavan (Pakar) Bera di Simpang Kerayong,
semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri Yaakob
Katanya, perniagaan yang dijalankan mengikut tiga syif itu terdiri daripada pasar malam, pasar tani, pasar minggu, pasar tamu, pasar karat dan perniagaan kenderaan bergerak.
"Setiap Pakar yang dibina dengan kos RM4 juta dianggarkan mampu mencatatkan jualan RM5 juta setiap tahun.
"Walau bagaimanapun, sekarang hanya lima buah Pakar yang sudah beroperasi dan baki tiga lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pakar Simpang Kepayang Bera, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Padil Osman dan ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman.
Tambahnya, perniagaan Pakar berkonsepkan pusat sehenti yang menempatkan sebanyak 260 peniaga di setiap lokasi dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada para peniaga dan usahawan kecil.
Katanya, Pakar dibuka pada waktu pagi hingga malam dengan sebelah pagi menjual sayur-sayuran dan barangan basah, sebelah petang membabitkan jualan kuih-muih manakala malam melibatkan makanan basah dan sebagainya.
"Dalam soal ini, kerajaan akan terus membela dan membantu golongan peniaga dan usahawan kecil supaya mereka mampu bersaing dan berjaya," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Noh memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM42 juta bagi membantu pekebun sayur di seluruh negara.
Katanya, melalui peruntukan tambahan itu pekebun sayur dapat meningkatkan hasil pengeluaran bagi memenuhi permintaan dalam negara.
No comments:
Post a Comment