Monday, April 22, 2013

Kopeks tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia

KOTA KINABALU 19 April - Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) menjadi penyumbang terbesar dalam simpanan yuran koperasi di negeri ini berjumlah RM36 juta. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian Kopeks menduduki tempat ke-49 bagi senarai Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia daripada lebih 9,000 koperasi seluruh negara.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130420/wb_02/Kopeks-tersenarai-dalam-Indeks-100-Koperasi-Terbaik-Malaysia
Published: April 22, 2013

"Kejayaan ini membuktikan Kopeks mempunyai pengurusan dan tadbir urus yang mantap serta berwawasan," katanya dalam majlis penyampaian Insentif Pendidikan Anak Anggota Yang Cemerlang Dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Dewan Wisma Wanita di sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 57 pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR tahun lalu terdiri daripada anak-anak ahli Kopeks menerima insentif berjumlah RM250 dan RM100.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Kopeks, Datuk Maznah Abdul Ghani; Pesuruhjaya Koperasi Malaysia Negeri Sabah, Omar Sarim Saidin; Pengarah Pelajaran Sabah, Jamie Alip dan Ketua Pegawai Eksekutif Kopeks, Buvil Angkui.

Mengenai program itu, Yahya memuji Kopeks kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut yang diadakan buat pertama kali sejak 50 tahun Kopeks ditubuhkan.

Beliau menambah, sejak 2009, Kopeks membayar pulangan pelaburan atau dividen yang baik kepada para ahlinya setiap tahun iaitu tidak kurang tujuh peratus.

"Kadar itu melebihi kadar simpanan tetap di bank. Ini menunjukkan prestasi kewangan Kopeks sangat memberangsangkan. Pencapaian ini membuktikan pengurusan koperasi mantap dan setanding dengan mana-mana organisasi perniagaan serta kewangan lain di negara ini.

"Usaha ini sangat bermakna kerana sebagai koperasi, Kopeks semakin fokus mengamalkan prinsip utama berkoperasi iaitu bekerjasama dalam usaha meningkatkan status ekonomi dan kebajikan secara kolektif," ujarnya.

No comments:

Post a Comment