KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pusat Pembangunan Reka Bentuk
Malaysia (DDEC) mahu usahawan kecil tempatan membangunkan penjenamaan,
pembungkusan dan juga reka bentuk produk mereka sebagai satu nilai
tambah, kata Ketua Komunikasi Korporatnya, Johan Termizi.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=942423
Published: April 17, 2013
Ketua Komunikasi Korporat DDEC, Johan
Katanya usaha itu dapat meningkatkan daya saing produk berkenaan ke peringkat yang lebih jauh lagi.
"Ini tujuan utama penubuhan DDEC. Selain membantu syarikat tempatan
memperkembangkan produk masing-masing, kami juga menyediakan latihan
serta konsultasi keusahawanan yang berkaitan dengan reka bentuk."
"DDEC mahu berfungsi sebagai hub atau pusat hentian setempat reka bentuk di Malaysia," katanya kepada Bernama.
Johan berkata, DDEC dengan kerjasama Achtung! KL telah menganjurkan
pusat seni kreatif, 'Brandesign Bazaar', di mana ia berperanan
memberikan peluang kepada para pereka jenama bebas tempatan mempromosi
serta menjual hasil kreatif mereka kepada orang awam.
Ia beroperasi setiap hari selama enam bulan mulai Mac, dan terletak di
tengah pusat bandar, Jalan Kia Peng, yang juga merupakan ibu pejabat
DDEC.
Pemilik jenama Achtung! KL, Mohd Nasir Abdul Rashid berkata aktiviti
seperti itu dapat membantu para pereka kreatif mempromosikan jenama
produk mereka di samping menjana pendapatan yang lebih.
"Kebanyakkan pereka hanya menjual produk melalui laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
"Bazar ini dapat memperkenalkan lagi jenama-jenama buatan tempatan
kepada orang ramai selain daripada peminat-peminat jenama itu sendiri,"
katanya.
Antara produk kreatif hasil ilham usahawan muda yang dapat dilihat di
Brandesign Bazaar adalah berasaskan kemeja-T, topi, beg dan juga poster.
Mohd Nasir berkata jenama produknya (Achtung! KL) diambil sempena
perkataan Jerman, yang membawa maksud perhatian dan di bawah nama itu,
beliau telah menghasilkan kemeja-T dan juga poster.
Menurutnya, jenama Achtung! KL kini turut mendapat tempahan daripada
selebriti tanah air, antaranya Ramli Sarip, XPDC dan Sweet Charity.
"Inilah tujuan sebenar Brandesign Bazaar, iaitu untuk menaikkan nama pereka-pereka kreatif dan juga produk ciptaan mereka."
"Sesuatu produk itu akan mendapat permintaan walau pun harganya agak
mahal. Ini disebabkan penjenamaannya yang kukuh," katanya, sambil
menyatakan bahawa salah satu penyebab sesuatu produk mendapat
penjenamaan yang kukuh adalah melalui kualiti barangan tersebut.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment