Sunday, April 28, 2013

Peniaga Kecil-Kecilan Akui KR1M Beri Banyak Impak Positif

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Sejak diwujudkan lebih dua tahun lalu, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi impak positif terhadap rakyat dan ekonomi setempat.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=945567
Published: April 28, 2013

KR1M yang berkonsepkan mesra rakyat bukan sahaja telah banyak membantu meringankan beban sara hidup rakyat berpendapatan rendah, malah turut membantu peniaga kecil-kecilan mengurangkan kos pembelian dengan mendapatkan barangan keperluan perniagaan dengan harga yang berpatutan.

Seorang peniaga pisang goreng kicap special dan keropok lekor di Kampung Kerinchi, dekat sini, Che Norlia Abdullah, 47, berkata beliau banyak memanfaatkan KR1M dengan pembelian barangan keperluan untuk perniagaannya seperti tepung dan minyak masak.

"Biasanya saya mendapatkan barangan keperluan di kedai runcit atau kedai borong berhampiran, namun sejak KR1M diwujudkan di Jalan Pantai Permai, saya hanya berkunjung ke KR1M untuk mendapatkan keperluan," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata walaupun murah, barangan di KR1M tetap mempunyai mutu dan kualiti.

"Apa yang penting, ia adalah kedai untuk rakyat dan sangat memberi makna kepada golongan berpendapatan rendah seperti saya dan ia, (barangan di KR1M) setimpal dengan harga yang ditawarkan," katanya.

Seorang peniaga makanan dan lauk pauk di Pantai Permai, Omar Mohamad, 68, berkata beliau kerap mengunjungi KR1M bagi membeli keperluan asas sama ada untuk perniagaan atau kegunaan isi rumah.

"KR1M sememangnya kedai rakyat, kewujudannya memang menjadi tumpuan penduduk setempat kerana selain lokasinya dekat dengan penempatan penduduk, harga barangannya juga berpatutan.

"Ia kedai yang sangat bermanfaat kepada rakyat lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup kesan kenaikan harga barangan keperluan," katanya yang mengakui stok barangan di KR1M sentiasa cepat habis.

Peniaga rojak India Muslim di Pantai Dalam, Abdul Manaf, 30, berkata kos sara hidup yang tinggi di ibu kota menjadikan KR1M kini ibarat satu keperluan kepada rakyat dalam membantu mengurus kewangan dengan baik.

"Berbelanja di KR1M membuatkan kita rasa agak 'selamat' kerana kita boleh berjimat dan menggunakan duit selebihnya untuk keperluan lain yang lebih penting, menabung atau kegunaan di waktu sempit," katanya.

Bakri Mukisan, peniaga air kelapa di Kampung Baru, berkata inisiatif kerajaan mewujudkan KR1M merupakan langkah bijak dan sesuatu yang diharapkan rakyat pelbagai bangsa.

"KR1M merupakan pilihan kepada mereka yang ingin mengurangkan kos perbelanjaan harian, saya sendiri juga berharap KR1M diperluaskan sehingga ke Kampung Baru agar turut sama dapat merasai manfaat kedai itu," kata peniaga berusia 60 tahun itu.

Setakat ini kerajaan telah mewujudkan 85 buah KR1M di Semenanjung dan dua di Sarawak. Sebanyak 90 buah KR1M akan dibuka menjelang akhir tahun ini termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment