Wednesday, February 27, 2013

Suri Rumah Sertai IKS Jana Pendapatan Lumayan

DUNGUN, 26 Feb (Bernama) -- Berpegang kepada peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih', suri rumah Zawiah Idris, 46, kini berbangga kerana mempunyai pendapatan sendiri hasil pengeluaran kuih-muih secara kecil-kecilan. Bermula dengan sekadar suka-suka mengambil tempahan daripada penduduk setempat, Zawiah atau Kak Yah dari Kampung Panchur, Jerangau dekat sini memutuskan untuk bergiat secara serius dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selepas menyertai satu program IKS.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=930318
Published: February 27, 2013

"Alhamdulillah, rezeki Kak Yah bertambah selepas menyertai IKS enam tahun lepas (2007). Kalau dulu pendapatan Kak Yah taklah seberapa, tapi berkat dorongan suami serta dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan, saya dengan kakak ipar dapatlah menjana pendapatan bulanan sendiri," katanya kepada Bernama.

Beliau dan kakak ipar Zaitun Mohamad, 49, yang mengusahakan pembuatan kuih bahulu, tat, kerepek pisang dan ubi, serta kuih loyang dan karipap mini di pekarangan rumah Zawiah, mampu memperoleh pendapatan bersih sehingga RM1,000 sebulan masing-masing.

Menceritakan pembabitannya dalam IKS, Zawiah berkata minat beliau timbul selepas melihat banyak produk sedemikian di pasaran, sekali gus mendorongnya menjengah Pejabat Pertanian daerah dan Pertubuhan Peladang Dungun bagi mengetahui selok-belok IKS.

Melihat potensi perniagaan wanita itu, pada 2010, dua agensi terbabit memberi bantuan bagi membina bengkel pembuatan kuih-muih di pekarangan rumah Zawiah selain bantuan peralatan.

"Kak Yah bersyukur dan sangat berterima kasih terutamanya kepada Pertubuhan Peladang dan Pejabat Pertanian kerana memberi bantuan peralatan, bengkel dan papan tanda perniagaan. Tanpa bantuan mereka mungkin Kak Yah tak akan sampai ke tahap ini.

"Mula-mula orang tak tahu tentang produk Kak Yah. Bila dah ada bengkel, ada 'signboard' yang dibina oleh agensi kerajaan ini, barulah orang tahu kewujudan produk Kak Yah," kata ibu kepada dua anak itu.

Katanya menerusi tunjuk ajar agensi kerajaan berkenaan juga beliau lebih arif tentang bahan yang digunakan dalam penyediaan produk makanannya.

"Kalau dulu Kak Yah tak tahu dan tak berapa pasti bahan-bahan yang Kak Yah guna tu halal ke tidak, tapi dengan adanya pendedahan dalam kursus-kursus yang disediakan oleh kerajaan, Kak Yah kini dapat memastikan produk yang Kak Yah hasilkan kini dijamin halal 100 peratus," katanya.

Beliau turut menggunakan peralatan moden bagi menyediakan produknya yang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran tetapi juga menjamin kualiti dan kebersihan produk.

Katanya sehingga kini dua agensi berkenaan masih memantau perjalanan perniagaannya selain sentiasa memberi tunjuk ajar dan khidmat nasihat dalam menguruskan perniagaan.

"Banyak kelebihan menyertai IKS ni, pihak kerajaan sentiasa memberi bantuan peralatan, latihan, nasihat dan sentiasa memantau apa yang kita hasilkan," katanya.

Menurut Zawiah, buat masa ini mereka hanya memasarkan produk itu di sekitar Dungun dan sedang meneliti untuk mengembangkan pasaran di daerah lain.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment