Thursday, February 21, 2013

Suruhanjaya Koperasi Sasar Tingkat Perolehan Sektor Koperasi Kepada RM38 Bilion Menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mensasar untuk meningkatkan perolehan sektor koperasi kepada RM38.5 bilion menjelang 2020 berbanding RM24.5 bilion ketika ini.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=929040
Published: February 21, 2013

Pengerusi Eksekutif yang baharu dilantik, Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata sektor koperasi mampu dibangunkan dengan lebih pesat lagi sekiranya diwujudkan kepelbagaian rantaian industri, bukan sahaja dalam bidang kredit tetapi juga sektor ekonomi lain seperti perkhidmatan dan pembuatan.

Beliau berkata dengan menjadikan koperasi besar sebagai ikon organisasi utama kepada kepada koperasi-koperasi yang lebih kecil, ia mampu mewujudkan sinergi dan rantaian nilai yang dapat dikongsi bersama dan menjadikan koperasi satu industri besar seperti di negara-negara maju.

"Malahan sekiranya dapat menembusi pasaran serantau dan antarabangsa, maka sektor koperasi mempunyai potensi besar untuk dibangunkan," kata beliau kepada pemberita dalam satu temu bual.

Ketika ini, terdapat 10,083 koperasi di seluruh negara dengan jumlah keanggotaan hampir lapan juta orang, kata Nik Ali yang menggantikan Datuk Md Yusof Samsudin berkuat kuasa 21 Jan.

Nik Ali berkata ASEAN mempunyai jumlah penduduk yang amat besar, seramai 600 juta orang dan berpotensi besar kepada koperasi tempatan yang ingin meneroka pasaran eksport dan mewujudkan sinergi antara negara-negara seiring dengan semangat kerjasama ASEAN.

Beliau berkata selari dengan hasrat para pemimpin negara anggota untuk mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang 2020, koperasi-koperasi domestik perlu bergerak seiring dan menyusun semula organisasi mereka untuk mendapatkan peluang besar menerusi pasaran ASEAN.

Nik Ali berkata beliau berhasrat menjadikan koperasi-koperasi yang dianggap kecil dan sederhana menjadi koperasi yang besar dan berdaya maju dan tidak hanya bergantung pada pemberian kredit kepada anggota tetapi sebagai industri yang pelbagai dan mampu menjana ekonomi domestik.

"Peranan SKM bukan semata-mata sebagai badan kawal selia tetapi juga untuk memastikan koperasi terus maju melalui usaha-usaha promosi dan penggalakkan seiring dengan pelan strategik SKM untuk menjadikan koperasi industri yang unggul, bertaraf global dan ikonik," katanya.

Beliau berkata pada masa sama, koperasi di negara ini perlu melihat amalan terbaik yang dilaksanakan oleh koperasi besar di negara maju dan negara yang sedang membangun yang mempunyai sistem tadbir urus yang mantap dan kekal dengan daya saing tahap lestari yang unggul.

"Legasi daripada koperasi ini perlu dilihat bagaimana mereka menyumbang kepada ekonomi negara seperti yang berlaku di negara-negara maju khususnya di Eropah.

"Koperasi bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota tetapi turut memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam pelbagai sektor ekonomi seperti industri perkhidmatan, peruncitan dan perkilangan, " katanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment