Sunday, February 24, 2013

RM50.5j bantu usahawan kecil

MELAKA 23 Feb. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Tekun Nasional (YTN) memperuntukkan sehingga RM50.5 juta bagi program pembiayaan kemajuan perniagaan usahawan kecil di negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pembiayaan yang diperuntukkan oleh kedua-dua agensi kerajaan itu pada tahun ini melibatkan sejumlah RM30.5 juta oleh Mara manakala RM20 juta lagi oleh YTN.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130224/ws_01/RM505j-bantu-usahawan-kecil
Published: February 24, 2013


SEBAHAGIAN usahawan menunjukkan cek pembiayaan Yayasan Tekun Nasional bersama Mohd. Ali Rustam (depan, empat dari kiri) pada Festival Industri Kecil Sederhana 2013 di Kota Fesyen, MITC, Melaka.

"Selain Mara, YTN adalah antara agensi yang banyak memberikan bantuan pinjaman kepada pengusaha di negeri ini.

"Pada tahun lalu, seramai 1,393 orang pengusaha telah direkodkan sebagai penerima pinjaman YTN berjumlah RM15.9 juta dan pada tahun ini agensi itu memperuntukkan sehingga RM20 juta sebagai bantuan pinjaman kepada usahawan.

"Sudah tentu peningkatan peruntukan ini adalah satu berita gembira kepada golongan usahawan dan sewajarnya mereka mengambil peluang yang telah disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Industri Kecil Sederhana (FIKS) 2013 di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Bahagian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Azlieza Azizan dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Prof. Madya Mohd. Adnan Hashim.

Program anjuran UiTM dan PKS itu berjaya menarik lebih 20 usahawan yang berkemahiran dalam bidang keusahawanan bukan sahaja dari segi promosi, malah kualiti pembungkusan.

Pada majlis yang sama, seramai 14 usahawan menerima cek pembiayaan YTN berjumlah RM167,000.

Menurut Mohd. Ali, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membantu perkembangan perniagaan usahawan di negeri ini khususnya dalam memasarkan produk pertanian dan industri asas tani.

"Daripada rekod yang diperoleh, pada tahun lalu seramai 228 peniaga dan telah menerima manfaat bantuan ruang pasaran oleh FAMA di pasar-pasar tani manakala 202 orang dan peningkatan industri asas tani seramai 202 orang," katanya.

No comments:

Post a Comment