Friday, February 15, 2013

Koperasi Desa Mampu Jana Pendapatan Negara - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperkasa koperasi desa yang berpontensi untuk menjana pendapatan negara, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=927980
Published: February 15, 2013

Beliau berkata antara projek yang boleh diusahakan koperasi berkenaan ialah perniagaan kedai runcit, stesen minyak mini dan program 'homestay'.

"Koperasi ini akan menjadi penggerak ekonomi di kampung-kampung bagi memastikan pengusaha desa ini fokus dengan perniagaan mereka.

"Kita juga akan bekerjasama dengan kementerian lain yang berkenaan dengan desa untuk melancarkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku garis panduan Aktiviti Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) di sini Khamis.

Mengenai garis panduan Ar-Rahnu, Ismail Sabri berkata ia bertujuan membantu anggota koperasi dan orang ramai mendapatkan skim pembiayaan tunai dengan mudah dan cepat berlandaskan hukum syarak bagi modal perniagaan, pendidikan dan pembangunan dalam industri kecil dan sederhana.

Beliau berkata melalui garis panduan itu koperasi dibenarkan memberi pembiayaan tidak melebihi RM50,000 atau 70 peratus daripada nilai marhun (nilai gadaian) kepada setiap penggadai.

Pada tahun ini, katanya sebanyak 71 koperasi dijangka melaksanakan aktiviti Ar-Rahnu berbanding 51 koperasi yang menjalankan secara persendirian dan francais di bawah skim Ar-Rahnu X'Change Bank Rakyat, tahun lepas.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baharu, Datuk Nik Mat Yunus yang menggantikan Datuk Seri Md Yusof Samsudin yang tamat kontrak setelah berkhidmat selama 34 tahun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment